Hanya Kerana Menjentik Batu Kerikil…

User Rating: / 10
PoorBest 
Share

Sambil membaca Riyadhus Shalihin, perhatian saya tertarik kepada sebuah hadis yang duduk hampir di hujung bab “Perintah Menjaga Sunnah dan Adabnya”. Hadis tersebut daripada Abu Sa’id Abdullah bin Mughaffal bahawa dia berkata: “Rasulullah melarang daripada bermain menjentik batu kerikil sambil menyatakan bahawa ia tidak dapat membunuh binatang buruan dan tidak dapat mencederakan musuh. Sebaliknya ia akan merosakkan mata dan mematahkan gigi.”


Dalam riwayat lain ditambah, bahawa kaum kerabat Abdullah bin Mughaffal ada yang bermain menjentik batu kerikil. Maka dia melarangnya sambil menyatakan bahawa Rasulullah melarang daripada bermain menjentik batu kerikil, ia tidak dapat membunuh binatang buruan. Namun dia tetap bermain seperti itu. Akhirnya (Abdullah bin Mughaffal) berkata: “Aku menyampaikan hadis Rasulullah melarangnya, namun kamu tetap meneruskannya? Aku tidak akan berkata-kata kepada kamu selama-lamanya.” [Rujuk lafaz asal dalam Shahih Muslim, no: 3614]

Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sikap Rasulullah yang suka menegur. Baginda menegur semua perkara, baik perkara agama mahu pun selainnya, baik perkara kecil mahu pun besar, baik kesalahan yang membawa hukum haram, makruh mahu pun sekadar perkara sia-sia yang tidak bermanfaat.

Bermain menjentik batu kerikil misalnya, ia masuk dalam kategori perkara bukan agama, kecil dan sekadar tidak bermanfaat. Namun baginda tetap menegur dan melarangnya sehingga ia dihafal oleh Abdullah bin Mughaffal. Tidak ada perkara yang kecil bagi Rasulullah melainkan semuanya akan ditegur dan diperbetulkan. Senafas dengan hadis ini, saya teringat sebuah hadis lain di mana Rasulullah melihat beberapa sahabat yang berwudhu’ dengan hanya mengusap kaki mereka. Sebaik saja melihat kesalahan itu, Rasulullah menegur tanpa lengah: “Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api neraka!” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 58]

Bandingkanlah dua hadis ini dengan hujah sebahagian agamawan yang lazim berkata: “Kita beri perhatian kepada perkara-perkara besar lagi penting dalam agama. Usah sibuk-sibuk dengan perkara ranting dan kecil-kecilan!” Ternyata mereka salah, kerana Rasulullah memberi perhatian kepada semua perkara tanpa membezakan itu dan ini. Lebih dari itu, jika kita umat Islam tidak cemerlang dalam perkara yang kecil lagi ranting, bagaimana mungkin kita akan cemerlang dalam perkara yang besar lagi penting?


Menjauhi Perkara Sia-Sia.

Mulai ayat 63 surah al-Furqan, Allah menerangkan ciri-ciri hamba-hamba-Nya yang layak disebut sebagai al-Rahman. Di antara ciri-cirinya ialah mereka yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia (lagha), mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. [al-Furqan 25:72]

Demikianlah sikap seorang mukmin yang cemerlang, dia bukan sahaja meninggalkan perkara yang dilarang tetapi juga menjauhi perkara yang sia-sia, yang tidak bermanfaat. Oleh itu dalam beraktiviti misalnya, Rasulullah membezakan apa yang bermanfaat dan apa yang sia-sia. Baginda bersabda: Segala sesuatu yang bukan merupakan zikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla maka ia adalah sia-sia dan kelalaian kecuali empat perkara: (1) belajar memanah, (2) berlatih untuk meningkatkan ketangkasan berkuda, (3) bersenda gurau dengan ahli keluarga dan (4) belajar berenang. [Riwayat al-Nasa’e dan selainnya, al-Silsilah al-Shahihah, no: 315]

Termasuk perkara sia-sia yang ditegur oleh Rasulullah ialah bermain menjentik batu kerikil. Sia-sia atau bermanfaat, baginda bandingkan dengan keberhasilannya untuk membunuh binatang buruan untuk dijadikan sumber makanan dan untuk mencederakan musuh dalam peperangan. Sudah tentu menjentik batu kerikil tidak akan dapat membunuh binatang mahu pun mencederakan musuh. Bahkan jika terkena orang lain, ia akan membawa mudarat merosakkan mata, gigi dan selainnya.

Mutiara pengajaran di sini adalah, Rasulullah mahukan kita menilai terlebih dahulu apa jua yang bakal dilakukan, bagaimanakah ia dapat memberi manfaat kepada agama dan manusia. Jika ia bermanfaat, maka teruskanlah. Jika tidak ada manfaat, maka tinggalkanlah.

Di sini saya mengajak para pembaca budiman sekalian, yang tentu saja bersungguh-sungguh ingin mengikuti sunnah Rasulullah, di manakah manfaat kepada agama dan umat aktiviti-aktiviti umpama menonton orang lain bersukan, seharian memancing ikan, menambah ekzos besar untuk kereta, menukar langsir setiap tahun dan melayari Facebook setiap 30 minit? Jawaplah dengan jujur.


Meninggalkan Orang Yang Meninggalkan Sunnah.

Membenci sunnah, membuat bid’ah, melanggar perintah-larangan Rasulullah, termasuklah dalam perkara-perkara larangan yang semestinya dijauhi oleh hamba-hamba al-Rahman. Oleh kerana itulah, Abdullah bin Mughaffal tidak lagi berkata-kata kepada kaum kerabatnya, meski pun semata-mata kerana menjentik batu kerikil. Ini kerana semua bentuk peremehan terhadap sunnah dan semua bentuk bid’ah hendaklah ditegah dan dibasmi sejak dari benih-benihnya. Jika tidak, ia akan membesar dan meluas sehingga sukar dikawal dan dibasmikan.

Pun begitu, dalam suasana akhir zaman yang jahil sunnah ini, tidak digalakkan untuk terus memulau orang yang membenci sunnah atau membuat bid’ah. Kita perlu mendampingi mereka secara terkawal lagi bijak, agar sunnah dapat disampaikan dan bid’ah dapat dihentikan.