AFN V2

Syubhat MLM: Sebahagiannya atau Semua?

User Rating: / 7
PoorBest 

Assalamualaikum,

بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

Di dalam artikel ini saya ingin kemukakan beberapa kesalahan dan syubhat yang terdapat dalam sebahagian perniagaan MLM yang umum mengetahui bagaimana sistem itu beroperasi iaitu seperti sistem 'piramid'.



Artikel ini tidak ditujukan kepada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan MLM secara khusus. Hanya secara umum sahaja. Jika perniagaan tersebut terdapat syubhat yang disenaraikan di sini, dinasihatkan supaya meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah. Perlu diingatkan tidak semua syubhat yang dinyatakan di sini terdapat dalam semua perniagaan MLM, tetapi hanya sebahagian sahaja.

Namun begitu, terdapat juga syarikat yang telah mendapat sijil pengiktirafan pengesahan dan kepatuhan syariah. Tetapi jika terdapat juga sebarang bentuk syubhat di dalamnya disarankan untuk meninggalkannya kerana rujukan kita adalah al-Qur'an dan hadis bukannya sijil yang dikeluarkan oleh sebuah negara yang kurang mengamalkan undang-undang Islam secara keseluruhannya sebagaimana hadis ini:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
"Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh dengan keduanya; Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya."(Riwayat Malik:1395)

Syubhat 1:
Dua belian (akad) dalam satu akad.

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan sama ada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu.

Dalil bagi syubhat ini ialah:
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami: Perawi Ahmad adalah thiqah; 4/84)

أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ عَلِيٍّ وَيَعْقُوبُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى قَالُوا حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ
Telah mengabarkan kepada kami 'Amru bin Ali dan Ya'qub bin Ibrahim dan Muhammad bin Al Mutsanna mereka berkata; telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa'id, ia berkata; telah menceritakan kepada kami Muhammad bin 'Amru, ia berkata; telah menceritakan kepada kami Abu Salamah dari Abu Hurairah berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang dari dua jual beli dalam satu akad jual beli.(Riwayat an-Nasa'i:4553)

Syubhat 2:
Tidak mempunyai pengetahuan yang cukup.

Ini berlaku apabila seseorang yang hanya mendengar kata-kata dan penerangan orang lain tanpa sebarang kaji selidik dan memahaminya lalu menyertai perniagaan MLM tersebut. Tindakan ini adalah menzalimi diri sendiri kerana kemungkinan apa yang dia fahami itu bercanggah dengan modus operandi sistem perniagaan MLM tersebut. Saidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين
Ertinya : "Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya" ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Ini adalah antara sebab mengapa terdapat mazhab yang mengatakan kanak-kanak yang tidak mampu berfikir antara baik dan buruk (belum mumayyiz) tidak sah dalam urusan jual beli.

Syubhat 3:
Belian peribadi target sebagai syarat komisyen.

Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target belian tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajipan jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sahih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 )
Namun, ia boleh jadi bermasalah apabila:
Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.
Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angin tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas broker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komisyen broker ini, menurut perbincangan Ustaz Zaharuddin bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.
Syubhat 4:
‘simsar ala simsar' (iaitu broker atas broker dan atas broker dan atas broker).

Maksud simsar ala simsar (broker di atas broker) ialah pihak yang atas mendapat untung daripada akad pihak dibawahnya (orang bawahnya/downlinenya) tanpa ada usaha dan modal di dalam akad tersebut.

Pandangan ini disokong dan dinyatakan haram oleh Syeikh Dr. Wahbah Zuhaily apabila di tanya oleh Ustaz Zaharuddin semasa Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa 12 Julai 2007. Beliau menekankan bahawa fatwa dalam mazhab Syafie yang memerlukan adanya kerja dan usaha setimpal bagi setiap komisyen yang diperolehi, jika tidak komsiyen itu adalah tidak sah. Rujuk link:
http://www.zaharuddin.net/peribadi,-tazkirah-&-fikir/542-perbincangan-saya-bersama-ulama-dunia.html

Hal berkaitan komisyen jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan akad yang jelas, dan hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung?Apa yang diletakkan untuk mendapat untung?
Sedangkan dalam contoh sebuah syarikat besar, seorang pemegang saham sememang layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana ia meletakkan 'modal', sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh didapati dari tiga sebab iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan 'Dhoman' barangan dari sebarang aib pada barang yang dijual.
Lalu si pemegang modal berhak mendapat untung kerana dia letak modal, si pekerja layak mendapat untung kerana dia bekerja. Jadi apa hak si upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke seratus? Tiada modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan yang dijual, kerana jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat, bukan upline.

Ini berdasarkan hadis:

ما أكل أحد طعاماً قط خيراً من أن يأكل من عمل يده
Ertinya : Tiadalah seseorang yang makan suatu makan yang lebih baik dari seseorang yang makan dari hasil tangannya (kerjanya sendiri). (Riwayat Al-Bukhari)

Syubhat 5:
Sebenarnya tiada produk yang dijual. Hanya mengkhususkan untuk mencari ahli bawah (downline).

Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahannya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentuk Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi. Nombor rujukan: 15/192-193.

Info Tambahan:

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003).
Fatwa JAKIM: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1358

Syubhat 6:
Sebahagian ahli yang ingin mencari orang bawah mengajak secara kurang beradab.

Mengenai syubhat ini bukan semua ahli yang bersikap seperti itu. Cuma sebilangannya sahaja dan mungkin ini antara salah satu sebab mengapa ramai yang begitu anti dengan perniagaan MLM bak kata pepatah, "kerana nilai setitik, rosak susu sebelanga."
Saya sendiri pernah diajak oleh rakan saya dan alhamdulillah tiada sebarang syubhat seperti ini.

Dalil bagi syubhat ini ialah:

لأن يحتطب أحدكم حزمة على ظهره , خير له من أن يسأل أحداً فيعطيه أو يمنعه
Ertinya : Seseorang kamu untuk pergi mengangkut kayu api lalu diletakkan di atas belakangnya adalah lebih baik dari kamu meminta-minta, samada diberi atau tidak" (Riwayat Al-Bukhari)

Walaupun hadis ini digunakan untuk hukum meminta-minta sedekah, namun saya rasakan sesuai untuk dikiaskan dengan syubhat ini.

Larangan-larangan:

Doa tidak diterima:
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : "Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku...". Sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sahih)
Larangan 1:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kami saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu.. (Surah an-Nisa':29)
Larangan 2:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya. (Surah al-Ma'idah:2)
Larangan 3:
الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (Surah al-Baqarah:275)

Larangan 4:
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ سِمَاكِ بْنِ حَرْبٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَكَاتِبَهُ قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَجَابِرٍ وَأَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ عَبْدِ اللَّهِ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah telah menceritakan kepada kami Abu 'Awanah dari Simak bin Harb dari Abdurrahman bin Abdullah bin Mas'ud dari Ibnu Mas'ud ia berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaknat pemakan riba, yang memberi makan riba, kedua saksi dan penulisnya. Ia mengatakan; Dalam hal ini ada hadits serupa dari Umar, Ali, Jabir dan Abu Juhaifah. Abu Isa berkata; Hadits Abdullah adalah hadits hasan shahih. (Riwayat Tirmidzi:1127)

Kesimpulannya:

Jika perniagaan MLM itu tiada sebarang unsur yang bercanggah dengan syarak, maka hukumnya adalah harus.

Tinggalkan perkara yang syubhat kerana ia adalah disuruh oleh Rasulullah saw berdasarkan hadis:

أَخْبَرَنَا سَعِيدُ بْنُ عَامِرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ عَنْ أَبِي الْحَوْرَاءِ السَّعْدِيِّ قَالَ قُلْتُ لِلْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ مَا تَحْفَظُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأَلَهُ رَجُلٌ عَنْ مَسْأَلَةٍ لَا أَدْرِي مَا هِيَ فَقَالَ دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
Telah mengabarkan kepada kami Sa'id bin 'Amir telah menceritakan kepada kami Syu'bah dari Buraid bin Abu Maryam dari Abu Al Haura` As Sa'di, ia berkata; aku berkata kepada Al Hasan bin Ali; "Apa yang engkau hafal dari Rasulullah?, " Ia menjawab; "Seorang laki-laki bertanya kepada beliau mengenai suatu permasalahan, namun aku tidak tahu permasalahan apa itu, kemudian beliau bersabda: "Tinggalkanlah sesuatu yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu."(Riwayat ad-Darimi:2420)

Dua akad dalam satu akad adalah riba' berdasarkan hadis:
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ عَنْ يَحْيَى بْنِ زَكَرِيَّا عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ بَاعَ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ فَلَهُ أَوْكَسُهُمَا أَوْ الرِّبَا
Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah dari Yahya bin Zakaria dari Muhammad bin 'Amru dari Abu Salamah dari Abu Hurairah ia berkata, "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa melakukan dua transaksi dalam satu transaksi maka baginya kekurangannya atau riba." (Riwayat Abu Daud:3002)

Sekian,
terima kasih.

Wallahualam.

You are here: Artikel View Ekonomi Syubhat MLM: Sebahagiannya atau Semua?