AFN V2

Kenapa Imam Ahmad Membenci Sedekap Di Dada : Satu Analisis

User Rating: / 17
PoorBest 

KENAPA IMAM AHMAD MEMBENCI SEDEKAP DI DADA : SATU ANALISIS
Ditulis oleh: Muhammad Fathi Ali
Disemak oleh: Ahmad Saifuddin Yusof (kawakib_duriyah)


Pendahuluan : Penjelasan Wujud Khilaf dan Pendapat yang Dipilih

Sebagai mana yang telah kita maklum, dalam bab dimanakah tempat sedekap ketika Solat ini telah berlaku perselisihan yang agak banyak antara ilmuan Islam, ada yang menyatakan bahawa bersedekap di dada itu sajalah yang sunnah, ada yang menyatakan bersedekap di dada bukan sunnah dan lain-lainnya sunnah, ada yang menyatakan kesemuanya sebagai sunnah, bahkan ada yang menyatakan bahawa kesemuanya tidak disyariatkan langsung.

Dan penulis lebih cenderung berpendapat bahawa sedekap di dada ketika qiyam solat adalah bukan sunnah Salaf, bahkan ia adalah makruh , sesuai dengan qaul (pendapat) Imam Ahmad bin Hanbal. Hal ini akan dibentangkan selepas ini.

Apa yang sunnah ialah samada di bawah pusat atau di atas pusat, keduanya itu luas iaitu sama atas atau bawah pusat. (Luas = samada atas pusat atau bawah pusat). Namun, penulis tidak menyatakan bahawa cara-cara lainnya adalah terlarang secara multak, bagi mereka yang berpegang bahawa hadith bersedekap di dada itu sahih, maka tiada masalah jika mereka ingin menyatakan bahawa ia sunnah. Namun, pendapat ini bagi penulis adalah amat lemah.



Apabila Perselisihan Berlaku, Kembalilah Kepada Sunnah Salafussoleh

Kewajipan untuk kembali kepada sunnah Salafussoleh ini adalah sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith yang sahih:

مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ


Terjemahan : Kalian yang hidup (setelah ku) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kalian berpegang teguh terhadap ajaranku dan ajaran Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat-kuat) dengan geraham. (Diriwayatkan antaranya oleh Abu Daud, no. 4607, dan didiamkannya. Kata Ibn Taimiah: "Sahih", rujuk: Iqtidha' Sirat-lMustaqim, 2/83)

Begitu juga sabda Baginda SAW:

خير الناس قرني ، ثم الذين يلونهم ، ثم الذين يلونهم ،

Terjemahan : Sebaik-baik kurun manusia adalah kurunku, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka. (Diriwayatkan antaranya oleh Al-Bukhari (no. 3561) dan Muslim (no.2533) dan lain-lain dengan sedikit perbezaan lafaz)


Sunnah Salafussoleh Memerlukan Hadith Nabi Atau Amalan Salaf

Sebagai mana yang kita tahu untuk menyatakan sesuatu itu sebagai sunnah ia memerlukan kepada dalil, sama ada dalil dari hadith Nabi yang sahih, atau dalil dari amalan Salafussoleh yang sahih.


Tiada Hadith Nabi yang Sahih Berkenaan Tempat Sedekap

Berkenaan riwayat-riwayat hadith Nabi SAW dalam hal tempat sedekap ini, pendapat yang rajih (paling kuat dari segi penghujahan) ialah tiada riwayat yang sahih dari Baginda Nabi SAW berkenaan tempat sedekap, kesemua riwayat sama ada di dada, atas pusat, mahupun bawah pusat kesemuanya adalah tidak sahih. Ini sebagaimana kata Ibn Al-Munzir:

ليس في المكان الذي يضع عليه اليد خبر يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم ، فإن شاء وضعهما تحت السرة وإن شاء فوقها

Terjemahan : Tidak ada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadith-hadith) yang thabit dari Nabi SAW , sekiranya dia mahu, boleh meletakkan kedua tangan itu di bawah pusat dan jika dia mahu (boleh) di atas pusat" (rujuk: Al-Awsath, Ibn Munzir, 94/3)

Walaupun terdapat percubaan daripada sebahagian Mutaakhkhirin untuk menampung kecacatan serta menaik taraf hadith bersedekap di dada, namun hujah-hujah tersebut adalah lemah.

Bahkan riwayat atas dada adalah satu kesilapan rawi, ia khata' (tersilap), ia tidak wujud pun pada asalnya tetapi wujud hanya sebab kesilapan rawi, dengan kata lain lafaz 'dada' adalah munkar, tidak mahfuz (tidak terpelihara).

Antara ‘ulama moden yang berpendapat yang sama ialah Syaikh Muqbil Hadi Al-Wadi’i, Syaikh Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, Syaikh Syu’aib Al-Arnaouth, Syaikh Salman Aoudah, Syaikh Mahir Yasin Al-Fahl, Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Al-Tharifi, Syaikh ‘Abdulrahman Al-Faqih dan lain-lain.

Berkata Syaikh Khalid Abdullah Al-Sya-yi’ (murid Syaikh Muqbil Hadi Al-Wadi’i) ketika membantah mereka yang cuba menaikkan taraf hadith ini:

وفي نهاية عرض أدلة القائلين بوضع اليدين على الصدر ، ربما يسأل سائل ، ألا تتقوى الأحاديث والآثار بعضها ببعض ؟ الجواب : أنها لا تتقوى بذلك ، وذلك أن حديث مؤمل منكر ، لأنه ضعيف ، خالف الثقاة ، ولا يقال إنها زيادة من ثقة ، لأم مؤملا ضعيف كما سبق بيانه . ولأن الطرق الباقية والشواهد المذكورة ما بين شاذ ومنكر . و مثل هذه الروايات لا تصلح للاعتبار ، وذلك لأننا حكمنا على الراوي فيها بالخطأ فكيف نبحث له عن شواهد ومتابعات


Terjemahan: Pada akhir pembentangan hujjah-hujjah ulama yang (berpendapat) meletakkan tangan di dada, timbul persoalan, adakah boleh untuk menguatkan hadith-hadith dan athar-athar ini sesama mereka? Jawabnya: ianya tidak boleh dikuatkan sebegitu, kerana sesungguhnya hadith Muammal adalah Munkar, kerana dia adalah dhaif, menyalahi mereka yang thiqat, dan ia tidak dinamakan sebagai penambahan rawi yang thiqah, kerana Muammal adalah dhaif sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, dan juga kerana jalan-jalan yang lainnya dan shawahid yang disebutkan semuanya adalah darjatnya antara Syadz dan Munkar, dan riwayat-riwayat semisal ini tidak boleh dijadikan I'tibar (penguat), kita katakan pada rawi itu telah melakukan silap (khata'), maka mana mungkin untuk kita jadikan ia sebagai shawahid dan mutabaat" (rujuk: Al-I’lam Bitakhyir Al-Musolli Bimakan Wad-‘il Yadain Ba’da Takbiratul Ihram, Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, pendahuluan oleh Muqbil Hadi Al-Wadi’i, hal. 48, Multaqa’ Ahl Hadeeth)

(Lebih lanjut, rujuk penjelasan berkenaan kecacatan-kecacatan hadith sedekap di dada ini oleh syaikh Syu’aib Al-Arnaouth dalam takhrijnya atas Musnad Imam Ahmad (hadith no: 21967), dan juga kitab ‘Athar Ikhtilaf Al-Asanid wa Al-Mutun Fi Ikhtilaf Al-Fuqaha’ (karya Dr. Mahir Yasin Al-Fahl) dan Sifat Solat Al-Nabi (karya Dr. ‘Abdul ‘Aziz Al-Tharifi))

Hadith bersedekap di dada tidak pernah disahihkan oleh mana-mana huffaz Salaf pada kurun ke-3H. Bahkan mereka tidak pernah membuat langsung bab "sedekap di dada" dalam kitab-kitab hadith mereka, penamaan "sedekap di dada" sebagai bab (tabwib) hanya muncul pada kurun ke-5H sebagaimana yang dilihat dalam Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi , itupun masih berlaku keraguan dan perselisihan samada adakah benar tabwib itu ditulis oleh al-Baihaqi sendiri atau mereka yang selepasnya.


Berlapang Dada.

Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, hadith bersedekap di ‘dada’ ini tidak pernah disahihkan oleh mana-mana huffaz hadith Salaf sehingga kurun ke-3H. Namun, ia telah dinaik taraf kepada sahih atau hasan oleh para pengkaji Mutaakhkhirin, namun bagi penulis hujah-hujah mereka yang mensahihkan hadith ‘dada’ ini adalah amat lemah, bahkan lafaz ‘dada’ tersebut adalah satu kesilapan dan tidak wujud pun pada asalnya.

Bagi penulis yang rajih (kuat dari segi penghujahan) ialah tiada walaupun satu hadith Nabi yang sahih dalam hal tempat bersedekap ini, kesimpulan ini adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Al-Munzir dalam kitabnya Al-Awsath katanya:

ليس في المكان الذي يضع عليه اليد خبر يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم ، فإن شاء وضعهما تحت السرة وإن شاء فوقها

Terjemahan : Tidak ada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadith-hadith) yang thabit dari Nabi SAW , sekiranya dia mahu, boleh meletakkan kedua tangan itu di bawah pusat dan jika dia mahu (boleh) di atas pusat" (rujuk: Al-Awsath, Ibn Munzir, 94/3)

Namun, penulis menghormati mereka yang tetap menerima hadith ‘dada’ ini sebagai sahih dan tidak salah bagi mereka yang berpegang kuat hadith ini sebagai sahih (setelah mengkaji dan membuat perbandingan) jika mereka ingin tetap menyatakan sedekap di ‘dada’ ini sebagai sunnah, tiada masalah bagi mereka. Namun, bagi penulis pendapat ini adalah terlalu lemah, dan kita saling menghormati sesama kita dalam hal yang masih boleh ditoleransi.


Bukan Isu Remeh

Sesetengah berpandangan bahawa isu ini adalah terlalu remeh dan ranting untuk diperhalusi dan diperincikan. Sedangkan perincian hal ini tidak didedahkan kepada umat Islam bagi mengikuti amalan dan perbuatan sahih berdasarkan sumber dan pengamalan yang benar. Suatu ketika dulu, orang yang menganggap isu sedekap ini remeh, tetapi sewaktu dulu kelompok yang sama bersilat dalam gelanggang ilmiah membincangkan isu tahrik (gerak-gerak jari ketika tasyahud), qunut, bacaan solat dan sebagainya. Bukankah itu juga remeh dan ranting? Sesungguhnya segala apa yang datang dari Nabi SAW dan para sahabat serta pendokong mereka adalah tidak remeh. Ia mempunyai erti yang besar dalam setiap gerak geri kita sebagai orang Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah. Janganlah menganggap ranting itu adalah remeh kerana tanpa ranting, buah tidak akan dapat keluar untuk memberikan hasil. Tanpa ranting, apalah makna pada pokok dan akar.


Amalan Para Salafussoleh Dalam Hal Sedekap.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini yang rajih dalam bab sedekap ini ialah tiada walau satupun hadith Nabi yang sahih. Maka apabila tiada hadith Nabi yang sahih, kita perlu melihat kepada fatwa dan amalan para Salafussoleh. Hal ini adalah sesuai dengan sabda Baginda SAW:

خير الناس قرني ، ثم الذين يلونهم ، ثم الذين يلونهم

Terjemahan : Sebaik-baik kurun manusia adalah kurunku, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka. (Diriwayatkan antaranya oleh Al-Bukhari (no. 3561) dan Muslim (no.2533) dan lain-lain dengan sedikit perbezaan lafaz)

Kata syaikh Muhammad Al-Amin:

"Dan maksud “kurun” (dalam hadith ini) tidak syak lagi adalah generasi manusia. Bukti hal tersebut adalah «kemudian orang-orang yang mengikuti mereka» iaitu Nabi bercakap tentang manusia, bukannya tahun"

Katanya lagi: "Al-Zahabi telah menyebut dalam muqaddimah Al-Mizan bahawa berakhirnya zaman salaf iaitu mutaqaddimin adalah pada awal tahun 300H. Dan apabila kita perhatikan, generasi ke-4 (dan ia adalah generasi yang mengambil ilmu daripada atba’ Al-tabi‘in. Antara senior mereka ialah Ahmad bin Hanbal dan antara junior mereka ialah Al-Nasa’i) berakhir dengan berakhirnya kurun ke-3H"

(Rujuk: Sempadan Pemisah Antara Mutaqaddimin dan Muta’akhkhirin, Muhammad Al-Amin, diterjemah oleh Muhammad Fathi dan disemak oleh 'Adlan Shariffudin, webblog Ansarul-Hadis - ansarul-hadis.blogspot...dimin.html )


Yang Sahih Dari Amalan Serta Fatwa Salafussoleh

Dan dalam hal bersedekap ini riwayat yang sahih yang ada dari fatwa dan amalan Salaf ialah sama ada bersedekap pada pusat, di bawah atau di atas pusat.

Ini sebagai mana yang dinukilkan dalam banyak kitab, antaranya ialah apa yang dinukilkan oleh Imam Al-Tirmizi dalam kitabnya Al-Jami' Al-Mukhtasar:

قال الإمام الترمذي في الجامع الكبير: عقيب حديث (252) :" والعمل على هذا عند أهل العلم من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم والتابعين ومن بعدهم : يرون أن يضع الرجل يمينه على شماله في الصلاة . ورأي بعضهم أن يضعهما فوق السرة ، ورأي بعضهم أن يضعهما تحت السرة ، وكل ذلك واسع عندهم

Terjemahan : Al-Imam Al-Tirmizi berkata pada komentar hadith 252 (iaitu hadith berkenaan meletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat): Amalan dalam perkara ini (iaitu amalan meletakkan tangan kanan atas tangan kiri ketika solat) di sisi ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi s.a.w dan Tabi’in dan selepas mereka (Atba’ al-Tabi’in). Mereka meriwayakan tentang seseorang itu meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya dalam solat. Sebahagian mereka berpendapat di atas pusat, dan sebahagian yang lain di bawah pusat. Dan kesemua ini (iaitu atas pusat atau bawah pusat tadi) adalah luas bagi mereka. (rujuk: Al-Jami' Al-Mukhtasar, Al-Tirmizi, akhir hadith no. 252)

Juga sebagai mana yang dinukil secara sahih sebagai amalan Ahmad bin Hanbal, Abu Hanifah, Abi Mijlaz, Al-Nakhaie, Sufyan Al-Thauri, Ishaq bin Rahawaih, Sa’id bin Jubair dan lain-lain Salaf , mereka semua bersedekap samada di pusat, pada atas pusat, atau pada bawah pusat (lanjut rujuk: Athar Ikhtilaf Al-Mutun wal Asanid fi Ikhtilaf Al-Fuqaha (tesis PhD), Mahir Yasin, hal. 434, Dar ‘Ammaar, ‘Amman, Jordan, 2003M & Athar 'Ilal Hadith (tesis Sarjana), Mahir Yasin, hal. 294, Dar Al-Muhaddithin, Qaherah, Mesir, 2008M)

Menurut syaikh Syu’aib Al-Arnaouth:

قال أبو طالب سألتُ أحمد بن حنبل: أين يضع يده إذا كان يُصلي؟ قال: على السرة أو أسفل . وكل ذلك واسع عنده إن وضع فوق السرة أو عليها أو تحتها

Terjemahan: Berkata Abu Talib (seorang murid Imam Ahmad): “Aku telah bertanya Ahmad bin Hanbal: “di manakah tempat beliau meletakkan tangan ketika bersolat?” Beliau menjawab: “Pada pusat atau di bawahnya”. Semuanya itu ‘luas’ baginya iaitu sesungguhnya samada meletakkan tangan pada pusat atau di bahagian atasnya atau di bawahnya” (lihat komentar Syuaib Al-Arnaouth terhadap Musnad Imam Ahmad: Hadith no: 21967).

Juga berkata Ibn Al-Munzir dalam kitabnya Al-Awsath (3/94) setelah membawakan hadith sedekap Abu Hurairah di bawah pusat:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: «مِنَ السُّنَّةِ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى تَحْتَ السُّرَّةَ فِي الصَّلَاةِ» وَبِهِ قَالَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ و إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ ،وَقَالَ إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ: تحت السرة أقوى في الحديث ، وأقرب إلى التواضع

Terjemahan : Dari Abu Hurairah katanya: "Daripada sunnah ialah seseorang meletakkan tangan kanan atas tangan kiri di bawah pusat ketika solat,” dan ia (sedekap bawah pusat ini) adalah pendapat Sufyan Al-Thauri, dan Ishaq bin Rahuyah. Ishaq bin Rahawaih (Rahuyah) berkata, “Bawah pusat adalah sekuat-kuat hadith (dalam hal sedekap) dan lebih dekat kepada tawaddhu’ ” (rujuk: Al-Awsath, Ibn Al-Munzir, tahqiq Abu Hammad Saghir, Dar Al-Taybah, Riyadh, Arab Saudi, 1985M

Berkata Imam Ibn Abi Syaibah dalam Al-Musannaf (1/390):

ثنا يزيد بن هارون أنا الحجاج بن حسان قال سمعت أبا مجلز أو سألته كيف يصنع ؟ قال : يضع باطن كف يمينه على ظاهر كف شماله ويجعلها أسفل السرة

Terjemahan: Menceritakan kami Yazid bin Harun, menceritakan kami Al-Hajjaj bin Hassaan katanya: aku mendengar Abu Mijlaz ditanya bagaimana meletakkan (tangan ketika sedekap)? Jawab Abu Mijlaz: “dia meletakkan perut tapak tangan kanannya atas belakang tangan kirinya dan diletakkan keduanya (bersedekap) dibawah pusat” (rujuk: Al-Musannaf, Ibn Abi Syaibah, 1/390)

Berkata Syaikh Khalid Abdullah Al-Sya-yi’ (murid Syaikh Muqbil Hadi Al-Wadi’i) berkenaan status athar ini:

وهذا أثر سنده حسن وهو مقطوع على أبي مجلز من قوله وهو من كبار الطبقة الثالثة تابعي جليل

Terjemahan: “Athar ini sanadnya adalah Hasan, dan ia adalah Maqtu’ kepada Abi Mijlaz sebagai kata-katanya, dan dia adalah seorang Kibar Al-Tabaqat Al-Thalasah Tabi’i Jalil (seorang yang besar pada tabaqat ketiga, tabi’i yang sangat hebat)” (rujuk: Al-I’lam Bitakhyir Al-Musolli Bimakan Wad-‘il Yadain Ba’da Takbiratul Ihram, Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, pendahuluan oleh Muqbil Hadi Al-Wadi’i, hal. 48, Multaqa’ Ahl Hadeeth)

Berkata Imam Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (2/31):

ثنا يحيى بن أبي طالب أنا زيد ثنا سفيان عن ابن جريح عن أبي الزبير قال : أمرني عطاء أن أسأل سعيدا أين تكون اليدان في الصلاة فوق السرة أو أسفل من السرة ؟ فسألته عنه فقال : فوق السرة. يعني سعيد بن جبير

Terjemahan: “…menceritakan kami Yahya bin Abi Thalib, menceritakan kami Sufyan dari Ibn Juraij dari Abi Al-Zubair katanya: Atha’ memerintahkan aku supaya pergi bertanya kepada Sa’id bin Jubair dimanakah letaknya tangan dalam solat, adakah atas pusat atau bawah pusat? Maka aku pun bertanya padanya, dan beliau – iaitu Said bin Jubair - menjawab: “atas pusat” (rujuk: Sunan Al-Kubra, Al-Baihaqi, 2/31)

Berkata Syaikh Khalid Abdullah Al-Sya-yi’ (murid Syaikh Muqbil Hadi Al-Wadi’i) berkenaan status athar ini:

إن صح الأثر فهو من كلام سعيد بن جبير رحمه الله ، وهو من أجله التابعين

Terjemahan: “Sesungguhnya athar ini adalah Sahih dan ianya adalah kata-kata Sa’id bin Jubair rahimahullah, dan beliau adalah daripada kalangan Tabi’in yang sangat hebat” (rujuk: Al-I’lam Bitakhyir Al-Musolli Bimakan Wad-‘il Yadain Ba’da Takbiratul Ihram, Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, pendahuluan oleh Muqbil Hadi Al-Wadi’i, hal. 41,Multaqa’ Ahl Hadeeth)


Hadith Tempat Sedekap yang Paling Kuat

Menurut salah seorang huffaz Salaf - Imam Ishaq bin Rahawaih, sedekap bawah pusat adalah sekuat-kuat hadith dalam bab ini.

Ini sebagaimana yang direkod oleh Imam Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi (murid kepada Imam Ishaq bin Rahawaih sendiri), apabila beliau bertanya kepada gurunya Imam Ishaq bin Rahawaih berkenaan tempat bersedekap, maka jawab Ishaq bin Rahawaih :

تحت السرة أقوى في الحديث و أقرب للتواضع

Terjemahan: “Bawah pusat adalah sekuat-kuat hadith (dalam hal sedekap) dan lebih dekat kepada tawaddhu’ ” (rujuk: Al-Masail Al-Imam Ahmad bin Hanbal wa Ishaq bin Rahawaih Riwayat Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi (Himpunan solan-solan kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Rahawaih riwayat Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi ), Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi, 1/139, tahqiq Khalid bin Muhammad, cetakan Dar Al-Hijrah, Riyadh, 2004M)

Begitu juga sebagaimana yang disebut oleh Ibn Al-Munzir (319H) dalam kitabnya Al-Awsath (3/94) setelah membawakan hadith sedekap Abu Hurairah di bawah pusat:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: «مِنَ السُّنَّةِ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى تَحْتَ السُّرَّةَ فِي الصَّلَاةِ» وَبِهِ قَالَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ و إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ ،وَقَالَ إِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ: تحت السرة أقوى في الحديث ، وأقرب إلى التواضع

Terjemahan : Dari Abu Hurairah katanya: "Daripada sunnah ialah seseorang meletakkan tangan kanan atas tangan kiri di bawah pusat ketika solat,” dan ia (sedekap bawah pusat ini) adalah pendapat Sufyan Al-Thauri, dan Ishaq bin Rahuyah. Ishaq bin Rahawaih (Rahuyah) berkata, “Bawah pusat adalah sekuat-kuat hadith (dalam hal sedekap) dan lebih dekat kepada tawaddhu’ ” (rujuk: Al-Awsath, Ibn Al-Munzir, tahqiq Abu Hammad Saghir, Dar Al-Taybah, Riyadh, Arab Saudi, 1985M)

Bahkan kata Ibn Al-Munzir, disebabkan tiada hadith Nabi yang sahih dalam hal ini , maka seseorang itu bebas untuk bersedekap sama ada di bawah atau di atas pusat (tidak juga disebutkan dada):

ليس في المكان الذي يضع عليه اليد خبر يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم ، فإن شاء وضعهما تحت السرة وإن شاء فوقها

Terjemahan : Tidak ada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadith-hadith) yang thabit dari Nabi SAW , sekiranya dia mahu, boleh meletakkan kedua tangan itu di bawah pusat dan jika dia mahu (boleh) di atas pusat. (rujuk: Al-Awsath, Ibn Munzir, 94/3)

Maka kita boleh simpulkan bahawa, bersedekap di atas atau di bawah pusat ini walaupun tiada hadith Nabi yang sahih, namun ia adalah amalan para Salafussolah secara pasti, maka tiada keraguan untuk kita nyatakannya ia sebagai sunnah Salafussoleh.


Wujudkah Salafussoleh yang Bersedekap di Dada?

Adapun bersedekap di dada, tiada riwayat yang sahih walau dari seorang Salaf pun yang memelihara dan bersedekap di dada.

Terdapat beberapa riwayat yang disandarkan kepada Salaf, antaranya disandarkan kepada 'Ali namun ia tidak sahih kepada 'Ali, disandarkan kepada Anas namun tidak sahih kepada Anas, disandarkan kepada Al-Syafie namun ia tidak sahih kepada Al-Syafie, disandarkan kepada Ishaq bin Rahawaih namun ia tidak sahih kepada Ishaq dan lain-lain kesemuanya tidak sahih. (lanjut rujuk: Athar Ikhtilaf Al-Mutun wal Asanid fi Ikhtilaf Al-Fuqaha (tesis PHD), Mahir Yasin, hal. 436, Dar ‘Ammaar, ‘Amman, Jordan, 2003M & Athar 'Ilal Hadith, Mahir Yasin, hal. 294-295, Dar Al-Muhaddithin, Qaherah, Mesir, 2008M, dan juga Al-I’lam Bitakhyir Al-Musolli Bimakan Wad-‘il Yadain Ba’da Takbiratul Ihram, Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, Multaqa’ Ahl Hadeeth)

Bahkan penulis telah bertanya melalui emel kepada Dr. Mahir Yasin Al-Fahl untuk memastikan hal ini, “Adakah terdapat walaupun seorang daripada para Salaf yang memelihara meletakkan tangan di atas dada? Dan adakah meletakkan tangan di atas dada itu merupakan amalan dan sunnah Al-Salafus Soleh?” Dr. Mahir Al-Fahl menjawab secara ringkas, "Tidak sahih walau dari seorang Salaf pun (yang meletakkan tangan di atas dada - pent).” (rujuk: Himpunan Sualat Fathi, webblog Ansarul-Hadis –
ansarul-hadis.blogspot...udkah.html )

Maka dapat disimpulkan disini, berkenaan bersedekap di dada ini walaupun ia turut tidak mempunyai hadith Nabi yang sahih, namun ia tidak diamalkan oleh para Salafussoleh secara pasti, maka tidaklah boleh untuk kita nyatakannya sebagai sunnah Salafussolah sehinggalah datang bukti sahih bahawa Nabi atau para Salaf mengamalkannya.


Hadith vs Amalan: Perbandingan Amalan Sedekap di Pusat dan Dada

Dimaklumi sebelum ini, bersedekap sama ada di atas atau di bawah pusat ini walaupun tiada hadith Nabi yang sahih, namun ia adalah amalan para Salafussolah secara pasti dan sahih, maka tiada keraguan untuk kita nyatakannya sebagai sunnah Salafussoleh.

Namun, berkenaan bersedekap di dada ini walaupun ia turut tidak mempunyai hadith Nabi yang sahih, namun ia tidak diamalkan oleh para Salafussoleh, tidak sahih walau dari seorang pun Salaf beramal dengannya, maka tidaklah boleh untuk kita nyatakannya sebagai sunnah sehinggalah datang bukti sahih bahawa Nabi atau para Salaf mengamalkannya.

Ringkasnya:

1- Hadith sedekap di atas pusat atau di bawah pusat adalah dha’if, namun ia diamalkan Salaf secara pasti.

2- Hadith sedekap di dada juga dhaif, namun ia tidak diamalkan Salaf, tidak sahih walau dari seorang pun Salaf beramal dengannya.

Persoalannya, kenapa berlaku sedemikian? Kenapa satu diamalkan satu lagi tidak diamalkan oleh Salaf? Kenapa dilihat Salaf meninggalkan amalan bersedekap di dada? Walhal kedua-dua amalan (pusat dan dada) tidak mempunyai dalil hadith yang sahih dari Nabi SAW?

Malah terdapat riwayat dari salah seorang Imam Salaf - Ahmad bin Hanbal, beliau sangat membenci amalan sedekap di dada. Bahkan beliau berhujah dengan sebuah athar yang sahih bahawa Sa'id bin Jubair - yang merupakan seorang tabi'in pertengahan yang 'Thiqah tsabt' lagi 'Faqih'- juga membenci keras amalan bersedekap di dada, sehingga beliau akan memukul tangan-tangan mereka yang bersedekap di dada. (Perbincangan athar Sa’id bin Jubair akan dibentangkan selepas ini)

Kenapa begitu sekali sikap para Salafussoleh terhadap amalan bersedekap di dada? Sudahlah tidak di amal, bahkan terdapat Salaf yang membencinya pula?


Ahmad bin Hanbal Membenci Sedekap Di Dada

Imam Ahmad bin Hanbal, salah seorang senior huffaz Salaf kurun ke-3H amat membenci sedekap di dada. Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh murid beliau - Imam Abu Daud (penyusun kitab Sunan yang masyhur) dalam himpunan soalan-soalan Abu Daud kepada gurunya Ahmad bin Hanbal.

Kata Imam Abu Daud dalam himpunan soalan-soalan beliau kepada Ahmad bin Hanbal:

قلتُ لأحمد وضع اليمين على الشمال في الصلاة تختاره ؟ (أتذهب إليه؟) ..؟؟. قال : نعم وسمعته سُئِلَ عن وضعه ، فقال : فوق السرة قليلاً وإن كان تحت السرة فلا بأس ، وسمعته يقول : يكره أن يكون يعني اليدين عند الصدر

Terjemahan : Aku bertanya kepada Ahmad, “(Amalan) meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri dalam solat, kamu berpegang dengannya? Imam Ahmad menjawab, "Ya". Dan aku mendengar beliau ditanya berkenaan tempat meletakkannya (iaitu tempat sedekap), Lalu Imam Ahmad menjawab, “Di atas pusat sedikit, dan jika di bawah tidak mengapa.” Dan aku mendengar dia juga berkata, “Dibenci jika kedua tangan di dada" (rujuk: Masaail Abu Daud lil-Imam Ahmad bin Hanbal, hal. 47-48, tahqiq Thariq 'Iwadullah,Maktabah Ibn Taimiah,1999M, juga Sifat Solat Al-Nabi, Al-Tharifi, hal. 89, Maktabah Dar Al-Manhaj, Riyadh, 1428H)

Bahkan diriwayatkan oleh Al-Muqhlatayy dalam kitabnya Al-'Ilam bin Sunnatihi 'Alaih Al-Salam yang merupakan syarah kepada Sunan Ibn Majah, bahawa Ahmad melarang keras mereka yang bersedekap di dada sehingga beliau berhujah dengan sebuah athar sahih yang menceritakan bahawa Sa'id ibn Jubair akan memukul tangan-tangan mereka yang bersedekap di dada (rujuk: Al-'Ilam bin Sunnatihi 'Alaih Al-Salam - Syarah Sunan Ibn Majah - , Al-Muqhlatayy, 5/131)


Pendapat ‘Atas Pusat’ itu Termasuk Dada : Satu Bantahan

Sesetengah pihak mentakwil bahawa yang dimaksudkan dengan 'atas pusat' itu juga termasuk 'dada' kerana 'dada' berada di atas pusat juga. Namun takwilan ini adalah lemah kerana daripada jawapan-jawapan Imam Ahmad seperti yang dinukilkan oleh Abu Daud itu menunjukkan bahawa Salaf membezakan antara 'atas pusat' dan 'dada'.

Sekiranya mereka tidak membezakannya maka murid-murid Imam Ahmad tidak akan bertanya kepada beliau tentang hukum bersedekap di dada. Adalah tidak rasional Imam Ahmad menfatwakan bahawa beliau benci seseorang itu bersedekap di dada sekiranya ‘atas pusat’ itu termasuk dada. Begitu juga Sa'id ibn Jubair tidak perlu melarang mereka yang bersedekap di dada sehingga sanggup memukul tangan-tangan mereka yang bersedekap di dada. Kesemuanya ini menunjukkan bahawa Salafussoleh membezakan antara 'atas pusat' dan 'dada'.


Satu Analisis : Kenapa Ahmad Membenci Keras Sedekap di Dada

Terdapat beberapa pendapat dalam hal ini, antaranya ialah apa yang dinyatakan oleh Syaikh 'Abdul 'Aziz Al-Tharifi:

ومراد أحمد من ذلك - والله أعلم – التعبُّد بهذا الفعل، مع عدم ورود الدليل الصحيح

Terjemahan : (Apa) yang dimaksudkan Ahmad dengan larangan sedekap di dada itu - Allah Maha Mengetahui - ialah beribadah dengan perlakuan itu, sedangkan tiada dalil sahih tentangnya" (rujuk: Sifat Solat Al-Nabi, Al-Tharifi, hal. 89, Maktabah Dar Al-Manhaj, Riyadh, 1428H)


Bantahan Kepada Pendapat Syaikh Al-Tharifi

Penulis berpendapat kenyataan Syaikh Al-Tharifi ini adalah tidak tepat, ini kerana jika Imam Ahmad membenci bersedekap di dada hanya kerana hadith sedekap tidak mempunyai dalil yang sahih, maka kenapa Imam Ahmad tidak turut membenci sedekap di bawah dan di atas pusat? Sedangkan hadith amalan-amalan tersebut juga dhaif.


Pendapat yang lebih jelas.

Terdapat pendapat yang lebih jelas yang menerangkan sebab kenapa Ahmad bin Hanbal membenci keras amalan bersedekap di dada ini.

Kata Syaikh 'Abdul Rahman Al-Faqih - seorang muhaddith dari Makkah, yang juga merupakan pengasas forum Multaqa Ahl Hadith - :

أن الإمام أحمد رحمه الله كان يكره وضع اليدين على الصدر كما في مسائل أبي داود ، وكان يسمى ذلك التكفير ويحتج فيه بأثر في النهي عن التكفير

Terjemahan : Sesungguhnya Al-Imam Ahmad rh membenci (memakruhkan) meletakkan tangan di dada sebagai mana yang terdapat dalam Masaail Abi Daud, dan beliau menamakannya sebagai "Al-Takfir" dan beliau berhujah dengan nya athar dalam perihal larangan "Al-Takfir".

Begitu juga kata Syaikh Khalid Abdullah Al-Sya-yi’ (murid Syaikh Muqbil Hadi Al-Wadi’i):

وكان يكره وضعهما على الصدر ويقول إنه التكفير

Terjemahan: Dan beliau (Ahmad bin Hanbal) telah memakruhkan (benci) untuk meletakkannya (bersedekap) di dada dan beliau berkata bahawa sesungguhnya ia adalah “Al-Takfir” (rujuk: Al-I’lam Bitakhyir Al-Musolli Bimakan Wad-‘il Yadain Ba’da Takbiratul Ihram, Khalid Abdullah Al-Sya-yi’, hal. 50, Multaqa’ Ahl Hadeeth)

Ini adalah sebagai mana yang disebut oleh Ibn Al-Qayyim dalam kitabnya Bada’i Al-Fawaid:

قال -يعني: الإمام أحمد- في رواية المزني:أسفل السرة بقليل ويكره أن يجعلهما على الصدر وذلك لما روى عن النبي أنه نهى عن التكفير وهو وضع اليد على الصدر

Terjemahan : Berkata - iaitu Al-Imam Ahmad - dalam riwayat yang dibawa oleh Al-Muzani, “Di bawah pusat sedikit, dan beliau membenci (makruh) menjadikan keduanya (iaitu bersedekap) hingga paras ke dada, ini adalah sepertimana yang diriwayatkan dari Nabi bahawa Baginda melarang perbuatan 'Al-Takfir' iaitu meletakkan tangan (bersedekap) di dada” (rujuk: Badai' Al-Fawaid, Ibn Qayyim, 3/601, Maktabah Nizar Mustafa al-Baz, 1996M) - Terima kasih kepada Cik Puan Fauzana yang telah menunjukkan penulis kepada rujukan ini dalam diskusi forum AFN.


Apakah itu Takfir?

Maksud Al-Takfir dijelaskan dalam Tahzib Al-Lughah;

وقال أبو عبيد: التكفير: أن يضع الرجل يديه على صدره

Terjemahan : Abu 'Ubaid berkata, “Al-Takfir ialah adalah (perbuatan) seseorang itu meletakkan kedua tangannya atas dadanya" (rujuk: Tahzib Al-Lughah) - Terima kasih kepada Al-Akh Abu Syifaa yang telah menunjukkan penulis kepada rujukan ini dalam diskusi forum AFN.

Bahkan dijelaskan oleh Abul Husin Ibn 'Abi Ya'la dalam kitabnya Tabaqat Al-Hanabilah, penjelasan Imam Ahmad sendiri berkenaan maksud ‘Al-Takfir’:

عن عبدالله بن أحمد، قال: سألت أبي عن حديث إسماعيل بن علية، عن أيوب، عن أبي معشر، قال: " يكره التكفير في الصلاة "، قال أبي: التكفير: أن يضع يمينه عند صدره في الصلاة

Terjemahan : Dari 'Abdullah bin Ahmad (anak Imam Ahmad bin Hanbal) katanya, “Aku bertanya kepada ayahku tentang hadith Ismail bin 'Ulayyah dari Ayub dari Abi Ma'syar katanya, “Melarang (menegah / membenci) (amalan) Al-Takfir dalam solat.” Ayahku berkata, “Al-Takfir ialah seseorang itu meletakkan tangan kanannya di dada ketika solat" (rujuk: Tabaqat Al-Hanabilah, 1/8, Dar Al-Ma'rifat, Beirut) - Terima kasih kepada Al-Akh elhakim yang telah menunjukkan penulis kepada rujukan ini dalam diskusi forum AFN.

Apa yang jelas dari kata-kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal di atas ialah, sesungguhnya Imam Ahmad berhujah dengan riwayat Abi Ma'syar yang menyatakan Nabi melarang seseorang itu melakukan 'Al-Takfir' dalam solat, iaitu meletakkan tangan di atas dada ketika solat.

Namun kata Syaikh 'Ali 'Imran dalam Hasyiahnya: " لم أره مسندًا / tidaklah saya lihat ia (hadith) musnad" iaitu riwayat ini tidak bersambung kepada Baginda Nabi SAW maka ia dhaif.

Akan tetapi, yang pasti Imam Ahmad tetap berhujah dengannya walaupun ia dhaif dalam keadaan Imam Ahmad sendiri mengetahui bahawa riwayat itu dhaif. Kenapa kita boleh katakan bahawa Imam Ahmad sedia mengetahui riwayat itu dhaif? Ini kerana anaknya - Abdullah - sendiri bertanya kepada Ahmad dengan sanad yang putus, dan putusnya sanad adalah antara kecacatan yang menjadikan sesuatu hadith itu dhaif kerana ia telah hilang salah satu syarat utama hadith sahih iaitu 'Al-Ittisol’ bermaksud bersambungnya sanad. Selain itu kecacatan ini adalah kecacatan yang zahir lagi jelas kepada Imam Ahmad.

Jika hadith itu dhaif, dan Imam Ahmad sedia mengetahui ia dhaif, maka kenapa Imam Ahmad tetap berhujah dengannya?


Manhaj Huffaz Salaf (Mutaqaddimin) Terhadap Hadith Dhaif

Perlu kita ketahui bahawa para huffaz Salaf mereka berhujah dengan hadith-hadith dhaif dalam beberapa masalah fiqh tertentu berdasarkan petunjuk-petunjuk (qarain-qarain), dan tidaklah tepat dakwaan bahawa para huffaz Salaf menolak hadith-hadith dhaif secara mutlak, begitu juga tidaklah tepat bahawa para huffaz Salaf beramal dengan hadith dhaif secara mutlak.

Maka adalah tidak kena jika seseorang itu melihat hadith dhaif kemudian terus secara automatis menyatakan bahawa fiqhnya pasti tiada, tanpa merujuk amalan-amalan dan fatwa Salafussoleh.

Dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah antara huffaz Salaf yang terkenal sebagai hafiz yang menggunakan hadith-hadith dhaif dalam dasar fiqh untuk beberapa masalah, hadith dhaif itu digunakan sebagai penyokong kepada fiqh yang sedia diamalkan para Salaf (para sahabat dan tabi'in), bahkan Ahmad akan mengutamakan hadith-hadith dhaif berbanding qiyas apatah lagi jika hadith dhaif itu adalah satu-satunya yang ada dalam babnya.

Prof. Madya Dr. Ariffin Omar menyatakan, “Dalam membuat dasar fiqh, Imam Ahmad mengutamakan hadith dhaif dan mursal berbanding qiyas setelah merujuk kepada nas dan qaul sahabi" (rujuk: Biografi Ulamak-Ulamak Hadith, Prof. Madya Dr. Ariffin Omar, H.M Yusuf Sinaga L.c, hal.205. Jahabersa, 2005M)

Begitu juga kenyataan Ibn Rajab Al-Hanbali ketika membincangkan istilah 'Mursal' dalam kitabnya Syarah 'Ilal Al-Tirmizi:

وظاهر كلام أحمد أن المرسل عنده من نوع الضعيف ولكنه يأخذ بالحديث إذا كان فيه ضعف ما لم يجئ عن النبي أو عن أصحابه خلافه

Terjemahan : Apa yang zahir daripada kata-kata Ahmad ialah sesungguhnya 'Al-Mursal' disisinya adalah dari jenis hadith yang Dhaif, akan tetapi dia -Ahmad- mengambil (iaitu berhujah) dengan hadith-hadith yang terdapat padanya ke-Dhaif-an selagi mana tiada riwayat dari Nabi atau fatwa para Sahabat, yang bertentangan dengannya (iaitu bertentangan dengan hadith dhaif tersebut). (rujuk: Syarah 'Ilal Al-Tirmizi, 1/312-313, tahqiq Dr. Nuruddin Itr, Dar Al-Malaah, Dimashq, 1398H)

Maka dapat kita fahami, bahawa Imam Ahmad berhujah dengan hadith dhaif daripada riwayat Abi Ma'syar itu memberi isyarat bahawa ia tidak bercanggah dengan mana-mana hadith Rasulullah SAW lain yang sahih, dan juga ia tidak bertentangan dengan mana-mana fatwa para Sahabat. Tambahan pula, hadith dhaif Abi Ma’syar adalah satu-satunya hadith dalam bab larangan ‘Al-Takfir’ ini.

Sekiranya hadith tersebut bercanggah dengan mana-mana hadith Baginda Nabi lain yang sahih, dan juga mana-mana fatwa para Sahabat, nescaya Imam Ahmad tidak akan berhujah dengannya.


Athar Sahih Larangan Melakukan 'Al-Takfir' Dalam Solat

Dalam isu ini, Imam Ahmad bin Hanbal tidak hanya berhujah dengan hadith Abi Ma'syar tersebut tetapi beliau juga berhujah dengan sebuah athar yang sahih dari Sa'id bin Jubair.

Athar yang dimaksudkan ialah sebuah athar yang menceritakan bahawa Said bin Jubair - yang merupakan seorang tabi'in yang 'Thiqah tsabt' lagi 'Faqih' - sangat tidak menyukai mereka yang melakukan 'Al-Takfir' dalam solat, iaitu bersedekap di dada, sehingga beliau sanggup memukul tangan-tangan mereka yang bersolat dengan bersedekap di dada.

Athar tersebut diriwayatkan oleh Al-Muqhlatayy dalam kitabnya Al-'Ilam bin Sunnatihi 'Alaih Al-Salam yang merupakan syarah kepada Sunan Ibn Majah, kata Al-Muqhlatayy dalam himpunan soalan-soalan kepada Ahmad bin Hanbal:

قلت لأحمد: ثنا خالد بن خداش، ثنا مهدي بن ميمون، عن عبيدالله بن العيزار، قال: (كنت أطوف مع سعيد بن جبير، وكان مهيبًا، فرأى رجلاً يصلي قد وضع إحدى يديه على الأخرى، فضرب يده)؟ فقال: (إنما رآه قد وضع إحدى يديه على الأخرى، وجعلهما عند صدره؛ لأن ذلك شبه التكفير).وسألته عن ابن العيزار، فقال: (بخ بخ بصري ثقة(

Terjemahan : Ditanya kepada Ahmad, “Telah menyampaikan kepada kami Khalid bin Khidasy: Telah menyampaikan kepada kami Mahdi bin Maimun, daripada `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar, dia berkata: Saya telah bertawaf bersama Sa'id bin Jubair, dan dia ialah seorang yang digeruni, maka beliau telah melihat seorang lelaki bersolat, pesolat itu telah meletakkan salah satu daripada dua tangannya di atas yang lain, lalu beliau - Sa'id bin Jubair- telah memukul tangannya?”
Maka beliau (Imam Ahmad) berkata, “Sesungguhnya beliau telah melihat (lelaki itu) meletakkan salah satu daripada dua tangannya di atas yang lain, dan dia meletakkan kedua-dua tangannya di dadanya, kerana perbuatan itu menyerupaï 'Al-Takfir'.”
Dan saya telah bertanya pula kepada Ahmad tentang Ibnu Al-`Ayzar (Ubaidillah bin al-Ayzar), Lalu beliau (Imam Ahmad) berkata, "Biarkan dia, biarkan dia. Beliau seorang yang berasal dari Basrah yang Thiqah" (rujuk: Al-'Ilam bin Sunnatihi 'Alaih Al-Salam - Syarah Sunan Ibn Majah - , Al-Muqhlatayy, 5/131)

Daripada matan (teks) diatas dapat difahami bahawa Ahmad memahami bahawa Sa'id bin Jubair membenci mereka yang bersedekap di dada kerana ia menyerupai 'Al-Takfir'. Dan athar ini adalah Sahih, disahihkan oleh Imam Ahmad sendiri dengan Tauthiq-nya (iktiraf autoriti) kepada Ibnu Al-`Ayzar.

Huraian Perawi Athar Ini

Jika kita perhatikan kepada sanad athar ini, perawi-perawinya adalah Khalid bin Khidasy -> Mahdi bin Maimun -> UbaidiLlah bin Al-`Ayzar -> Sa'id bin Jubair.

1- Khalid bin Khidasy:

Seorang yang merupakan 'Soduq Hasanul Hadith', dan thabit meriwayatkan dari Mahdi bin Maimun sebagaimana yang telah disebut oleh Al-Zahabi dan lain-lain.

Bahkan ramai yang men-thiqah-kannya termasuk Muhammad bin Sa’d, Ya’qub bin Syaibah, Ibn Qaani’, Ibn Hibban, dan juga Al-Daraquthni. Manakala Abu Hatim menilai beliau sebagai: Soduq. Juga beliau merupakan perawi Imam Muslim. Hanya Ibn Al-Madini dan Al-Saaji sahaja yang menilainya sebagai dhaif, sedang ramai lainnya menilai beliau sebagai: Thiqah atau Soduq.

Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai: Soduq Yukhti', namun kesimpulan Ibn Hajar ini dibantah oleh Syu'aib Al-Arnaouth dan Dr. Basyar ‘Awwad Ma’ruf.

Kata Syu'aib Al-Arnaouth dan Dr. Basyar ‘Awwad Ma’ruf: "Bahkan: beliau sebenarnya 'Soduq Hasanul Hadith', sesungguhnya telah men-thiqah-kannya Muhammad bin Sa’d, dan Ya’qub bin Syaibah, dan Ibn Qaani’, dan Ibn Hibban, dan juga Al-Daraquthni. Dan Imam Muslim juga telah meriwayatkan hadith beliau dalam kitab (Al-Sahih) dan juga Abu Hatim Al-Raazi berkata tentangnya: Soduq – dan dia adalah dari mereka yang mirip kepada guru-gurunya yang thiqah-thiqah. Dan berkata Soleh Jazrah dan Ibn Ma’in dalam satu riwayat: Soduq. Dan dia di dhaifkan oleh Ibn Al-Madini dan Al-Saaji kerana tafarrudnya keatas Hammad bin Zaid dengan hadith-hadith yang tidak diikuti padanya, namun ia telah dibantah oleh Al-Khatib dan dijelaskan bahawa hadith-hadith yang beliau tafarrud tersebut adalah padanya merupakan usul dari mereka yang meriwayatkannya darinya, maka menjadi kurang jalannya, dan dijelaskan sesungguhnya contoh-contoh sebegini memang biasa terjadi pada hadith para imam-imam yang thiqah-thiqah juga, oleh itu dia dinilai (Al-Soduq) disebabkan kecacatan yang ringan ini, jika tiada kecacatan ringan ini maka dia sudah dikira Thiqah" (rujuk: Tahrir Taqrib Al-Tahzib, 1/342, Syu'aib Al-Arnaouth, Dr. Basyar ‘Awwad Ma’ruf, Muassasah Al-Risalah, Beirut, 1997M)

Bahkan kata Al-Zahabi tentangnya: "Al-Imam, Al-Hafiz lagi Soduq...beliau meriwayatkan hadith dari: Anas, Mahdi bin Maimun, Abi 'Awanah, Hammad bin Zaid, dan Bakkar bin 'Abd Al-'Aziz bin Abi Bakrah dan hadith-hadith beliau diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, dan Ahmad bin Abi Haithamah, Abu Zur'ah, Abu Bakr bin Abi Dunya dan Uthman bin Khurrazaz." (rujuk: Siyar 'Alam Al-Nubala', rawi. no 162, 10/488, tahqiq Syu'aib Al-Arnaouth, Muassasah Al-Risalah, Beirut, 1985M)

2- Mahdi bin Maimun:

Merupakan seorang Sighar Al-Tabi'in yang Thiqah. Dan thabit meriwayatkan hadith dari `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar sebagaimana yang telah disebut oleh Al-Bukhari, Ibn Abi Hatim.

Beliau dinilai Thiqah oleh Ahmad bin Hanbal, Syu'bah, Yahya ibn Ma'in, Al-Nasaie. Dan Ibn Hajar dan Al-Zahabi menyimpulkan beliau sebagai 'Thiqah'. Juga beliau merupakan perawi Al-Bukhari dan Muslim. (rujuk: Tahzib Al-Kamal, Al-Mizzi, rawi. no. 6932)


Periwayatan Ibn Khidasy (tabaqah 10) dari Mahdi bin Maimun (tabaqah 6)

Sesetengah pihak mendha’ifkan athar ini hanya kerana Ibn Khidasy adalah perawi tabaqah ke-10 dan Mahdi bin Maimun pula adalah perawi pada tabaqah ke-6, dan secara umumnya perawi tabaqah ke-10 tidak bertemu perawi tabaqah ke-6. Namun, setelah membuat kajian dalam hal ini maka saya mendapati alasan ini adalah sangat lemah. Bahkan sebenarnya telah thabit bahawa Ibn Khidasy bertemu Mahdi bin Maimun.

Perlu diketahui, dalam amali kajian hadith tidaklah cukup untuk seseorang pengkaji itu hanya bergantung kepda kitab-kitab rijal yang ringkas-ringkas seperti Taqrib Al-Tahzib karya Ibn Hajar atau Tahzib Al-Kamal karya Al-Mizzi semata. Sebaliknya seseorang pengkaji perlu merujuk kitab-kitab rijal lainnya yang lebih detail maklumatnya, kerana kemungkinan besar terdapat yang tiada dalam kitab Ibn Hajar dan Al-Mizzi. Seorang yang berada pada tabaqah ke-10 boleh meriwayatkan dari seorang dari tabaqah ke-10 jika sekurang-kurangnya beliau berumur 7 tahun keatas atau telah mumayyiz, maka ia dikira mausul (bersambung) dan thabit.

Berkenaan dengan periwayatan Ibn Khidasy dari Mahdi bin Maimun ini, setelah dirujuk Tarikh Baghdad oleh Al-Khatib (tarjamah Ibn Khidasy) maka didapati ada diriwayatkan kisah tentang keakraban hubungan Ibn Khidasy dengan Bisyr bin Al-Harith Al-Hafi seorang ahli zuhud yang sangat masyhur di Baghdad.

Dalam kisah itu Ibn Khidasy menyebut hubungan akrab beliau dengan Bisyr telah melebihi 60 tahun dan tetap tidak berubah.

Mahdi bin Mainmun meninggal pada 172H, manakala Ibn Khidasy pula meninggal pada 223H atau 224H dan tidak pula diketahui tarikh lahirnya. Maka tempoh antara kematian kedua-duanya adalah 51 atau 52 tahun. Bisyr Al-Hafi pula meninggal pada 227H.

Maka sudah tentu umur Ibn Khidasy ketika meriwayatkan dari Mahdi bin Maimun telah melebihi 9 tahun jika kita andaikan Ibn Khidasy menyebut tempoh hubungan akrabnya dengan Bisyr yang telah melebihi 60 tahun itu pada tahun 223H. Jika diandaikan beliau meninggal pada 224H (menurut salah satu riwayat) maka beliau berumur 10 tahun.

Jika kisah penyebutan temboh hubungan itu lebih awal dari tahun 223H maka sudah tentulah umur Ibn Khidasy melebihi 10 tahun (umur belasan tahun). (rujuk: Tarikh Baghdad, Al-Khatib Al-Baghdadi, perawi no. 4405, Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiah, Beirut) - Terima kasih kepada guru penulis Ustaz Anwaruddin Abdulwahhab Al-Falanjazi yang telah menunjukkan penulis kepada rujukan ini dalam diskusi sesama kami.

Bahkan kata Al-Zahabi berkenaan Ibn Khidasy: "Al-Imam, Al-Hafiz lagi Soduq...beliau meriwayatkan hadith dari: Anas, Mahdi bin Maimun, Abi 'Awanah, Hammad bin Zaid, dan Bakkar bin 'Abd Al-'Aziz bin Abi" (rujuk: Siyar 'Alam Al-Nubala', rawi. no 162, 10/488, tahqiq Syu'aib Al-Arnaouth, Muassasah Al-Risalah, Beirut, 1985M)

Maka dengan ini telah thabitlah bahawa Ibn Khidasy telah sempat bertemu Mahdi bin Maimun (172H) dan meriwayatkan athar Sa’id ibn Jubair itu dari Mahdi.


3- `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar:

Merupakan Tabi'in Al-Wustho yang Thiqah. Dan thabit meriwayatkan hadith dari Sa'id bin Jubair sebagaimana yang telah disebut oleh Ibn Abi Hatim dan lain-lain.

Beliau dinilai Thiqah oleh Ahmad sebagai mana yang jelas dari matan athar diatas, dan beliau juga dinilai Thiqah oleh Yahya Al-Qattan sebagaimana yang dinukilkan oleh Al-Bukhari dalam Al-Tarikh Al-Kabir dan Ibn Abi Hatim dalam Al-Jarh wa Al-Ta'dil, sekaligus menunjukkan bahawa Al-Bukhari dan Ibn Abi Hatim juga menilai beliau sebagai Thiqah. Ibn Hibban menyebutkan beliau dalam kitabnya 'Al-Thiqaat'.

Imam Al-Bukhari menyatakan;

عبيد الله بن العيزار المازني يعد في البصريين روى عنه أبو عمرو الصفار ومهدي بن ميمون وبشر بن المفضل قال يحيى القطان كان ثقة

Terjemahan : `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar Al-Maziniy tinggal di Basrah, dan mengambil hadith dari beliau ialah Abu 'Amru Al-Saffar dan Mahdi bin Maimun dan Bisyr bin Al-Mufaddhal, berkata Yahya Al-Qattan tentangnya: Thiqah" (rujuk: Al-Tarikh Al-Kabir, rawi no. 1272)

Kemudian Ibn Abi Hatim menyebut;

عبيد الله بن العيزار المازني بصرى روى عن سالم بن عبد الله والحسن البصري وطلق بن حبيب وأبى السليل وسعيد بن جبير وعبد الله بن بريدة روى عنه مهدى بن ميمون وبشر بن المفضل ويحيى بن سعيد القطان سمعت أبى يقول بعض ذلك وبعضه من قبلى نا عبد الرحمن نا صالح بن احمد بن محمد بن حنبل نا على يعنى بن المديني قال سألت يحيى بن سعيد عن عبيد الله بن العيزار فقال ثقة

Terjemahan : `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar Al-Maziniy seorang yang berasal Basrah, beliau mengambil hadith dari Salim bin 'Abdullah dan Al-Hasan Al-Basri dan Thalaq bin Hubaib dan Abi Al-Sulail dan Sa'id bin Jubair dan 'Abdullah bin Burdah, dan mereka yang meriwayat hadith dari beliau ialah Mahdi bin Maimun dan Bisyr bin Al-Mufaddhal dan Yahya bin Sa'id Al-Qattan, aku mendengar ayahku (Abu Hatim) berkata, “Sebahagian dalam hal ini dan sebahagian daripada sebelumku, telah menceritakan kepada kami 'Abdulrahman, telah menceritakan kepada kami Soleh bin Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, telah menceritakan kepada kami 'Ali Ibn Al-Madini katanya: aku bertanya kepada Yahya bin Sa'id (Al-Qattan) berkenaan `UbaidiLlah bin Al-`Ayzar, jawabnya: Thiqah" (rujuk: Al-Jarh wa Al-Ta'dil, rawi. no. 1560)

4- Sa'id bin Jubair:

Beliau merupakan Tabi'in Al-Wustho yang ‘Thiqah Tsabt’ lagi ‘Faqih’. Kata Ibn Hajar: "Thiqah Tsabt Faqih", kata Al-Zahabi: "seorang yang sangat dikenali". Merupakan perawi Al-Bukhari dan juga Muslim. Wafat pada tahun 95H.

Seorang ahli fiqh, pembaca Al-Qur’an yang fasih dan ahli ibadah. Sufyan Al-Thauri lebih mendahulukannya dari pada Ibrahim Al-Nakha’i, dia berkata:” Ambilah tafsir dari empat orang, yaitu dari Sa’id bin Jubair, Mujahid, Ikrimah dan Al-Dhahhak”.

Sa’id bin Jubair meriwayatkan dari Abdullah bin Al-Zubair, Anas bin Malik, Abu Sa’id Al-Qudri, dari mereka ini hadith-hadithnya Musnad. Namun, dia tidak mendengar secara langsung dari Abu Hurairah, Abu Musa al-Asy’ari, Ali dan Aisyah, menjadian riwayatnya dari mereka adalah Mursal. (rujuk: Tabrib Al-Tahzib, rawi. no 2278)

Maka kesimpulannya athar ini adalah 'Sahih' mengikut kaedah penilaian huffaz Salaf (Al-Mutaqaddimin), bahkan Ahmad mensahihkannya, atau sekurang-kurangnya ia adalah 'Hasan' mengikut keedah penilaian Al-Mutaakhkhirin kerana Khalid bin Khidasy yang merupakan 'Soduq Hasanul Hadith'. Dan Imam Ahmad bin Hanbal berhujah dengan athar Sa'id bin Jubair ini untuk makruhnya melakukan 'Al-Takfir' dalam solat, iaitu bersedekap di dada.


Ahmad bin Hanbal: Kenapa Perlu Membenci Keras 'al-Takfir' Dalam Solat?

Sebagai mana yang telah dijelaskan sebelum ini, Imam Ahmad bin Hanbal menghukum makruh dan membenci mereka yang bersedekap di dada ketika solat. Sebabnya adalah ia menyerupai 'Al-Takfir' iaitu meletakkan kedua tangan di dada, dan Ahmad berhujah dengan sebuah hadith yang dhaif dari Abi Ma'syar dan juga dengan sebuah athar yang sahih dari Sa'id bin Jubair.

Persoalannya, kenapa perlu membenci melakukan 'Al-Takfir' dalam solat? Walhal ia hanya meletakkan tangan di dada, ia hanyalah perbuatan bersedekap di dada, maka kenapakah perlu ia dibenci? Dan kenapa para Salafussoleh bersedekap sama ada di bawah atau di atas pusat?

Jika kita melihat kepada fatwa para huffaz Salaf, hadith Nabi yang paling kuat dalam hal sedekap ialah bersedekap di bawah pusat, ini adalah sebagaimana yang yang dijelaskan oleh Imam Ishaq bin Rahawaih, sebagaimana yang direkod oleh Imam Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi (murid kepada Imam Ishaq bin Rahawaih sendiri), apabila beliau bertanya kepada gurunya Imam Ishaq bin Rahawaih berkenaan tempat bersedekap, maka jawab Ishaq bin Rahawaih :

تحت السرة أقوى في الحديث و أقرب للتواضع

Terjemahan: “Bawah pusat adalah sekuat-kuat hadith (dalam hal sedekap) dan lebih dekat kepada tawaddhu’ ” (rujuk: Al-Masail Al-Imam Ahmad bin Hanbal wa Ishaq bin Rahawaih Riwayat Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi (Himpunan solan-solan kepada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ishaq bin Rahawaih riwayat Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi ), Ishaq bin Mansur Al-Kausaj Al-Marwazi, 1/139, tahqiq Khalid bin Muhammad, cetakan Dar Al-Hijrah, Riyadh, 2004M)

Apa yang dimaksudkan oleh Imam Ishaq bin Rahawaih ialah: hadith 'bawah pusat' adalah dhaif, namun ia adalah sekuat-kuat hadith dalam bab ini, bahkan ia adalah lebih dekat kepada sikap tawaddhu’.

Hadith 'di bawah pusat' adalah sekuat-kuat hadith, dan antara hikmah bersedekap di bawah pusat dijelaskn oleh Badruddin Al-'Ainiy Al-Hanafi, katanya:

ونحن نقول الوضع تحت السرة أقرب إلى التعظيم وأبعد من التشبه بأهل الكتاب وأقرب إلى ستر العورة وحفظ الإزار عن السقوط وذلك كما يفعل بين يدي الملوك

Terjemahan : Dan kami berpendapat meletakkan tangan di bawah pusat (ketika solat) lebih dekat kepada ta`zim (membesarkan Allah) dan lebih jauh daripada tasyabbuh (menyerupai) dengan Ahli Kitab, dan lebih dekat kepada menutup `aurat dan menjaga kain daripada terlepas, dan itu sebagai mana yang dilakukan di hadapan raja-raja" (rujuk: 'Umdatul Qari, Badruddin Al-'Ainiy Al-Hanafi, 9/23, cetakan Multaqa' Ahl Hadith, 1427H)

Dapat difahami melalui penjelasan Al-'Ainiy diatas, hikmahnya bersedekap di bawah pusat adalah antaranya kerana:

1- Lebih dekat kepada ta`zim (membesarkan Allah).

2- Lebih jauh daripada tasyabbuh (menyerupai) dengan Ahli Kitab.

3- Lebih dekat kepada menutup `aurat dan menjaga kain daripada terlepas.

Penulis telah melakukan semakan atas beberapa kitab dan juga berbincang dengan seorang sahabat penulis yang mulia - Ahmad Saifuddin Yusof (kawakib_duriyah) - merupakan Pensyarah (Pengajian Islam), Kolej Teknologi Darulnaim, pelajar Sarjana Hadith di UM, dan juga merupakan Panel Hadith dalam laman Al-Fikrah.net(AFN), moga Allah memberkati beliau- dalam perbincangan sesama kami.

Maka kesimpulan kami ialah, antara kesemua hikmah yang disebutkan oleh Al-'Ainiy di atas, pada kami yang paling jelas hujahnya – Allah Maha Mengetahui - ialah pendapat kedua, iaitu bersedekap di bawah pusat adalah lebih jauh daripada tasyabbuh (menyerupai) dengan Ahli Kitab. Kenapa kami menyatakan sedemikian?


‘Sifat Sembahyang Ahli Kitab’ - Yahudi

Ini kerana, apabila kita perhatikan amalan ibadah kaum Yahudi khususnya Yahudi Ortodoks yang masih lagi mengekalkan amalan-amalan asal ajaran para Rabbai mereka yang terawal sebagaimana yang terkandung dalam kitab Talmud mereka. Apabila kita meneliti tata cara sembahyang mereka di Synagogue adalah hampir sama dengan Sifat Solat Nabi SAW terutama pada qiam, rukuk, sujud dan sebagainya. Bahkan mereka kaum Yahudi juga perlu melakukan ‘wudhu’ sebelum sembahyang dengan membasuh muka, kaki dan tangan dangan cara yang hampir sama dengan Muslim tetapi tidak serupa (ada perbezaan). (Rujuk, To Pray As A Jew: A Guide To The Prayer Book And The Synagogue Service).



Petikan gambar daripada buku To Pray As a Jew



Namun apa yang menarik, antara ciri ‘Sifat Sembahyang Yahudi’ ialah mereka apabila berdiri 'qiam' dalam sembahyang, mereka akan bersedekap di dada, ini adalah amalan mereka dalam sembahyang mereka sehari-hari. Dengan kata lain mereka kaum Yahudi akan melakukan 'Al-Takfir' dalam sembahyang iaitu meletakkan kedua tangan mereka di dada (bersedekap di dada). Dan ‘Al-Takfir’ inilah yang dibenci Ahmad bin Hanbal jika dilakukan seorang Muslim dalam Solat.

Maka bagi kami, antara sebab utama Imam Ahmad bin Hanbal membenci keras untuk bersedekap di dada ialah kerana ia menyerupai 'Al-Takfir' dan amalan 'Al-Takfir' adalah amalan kaum Yahudi dalam sembahyang mereka, iaitu mereka akan bersedekap di dada. Maka atas sebab itu Imam Ahmad amat membenci perbuatan ini, bahkan memakruhkannya, kerana untuk berbeza daripada cara kaum Yahudi sembahyang dan mengelak berlaku tasyabbuh, sehingga Imam Ahmad sanggup berhujah dengan hadith yang dhaif dari Abi Ma’syar dan disokong oleh athar yang sahih dari Sa’id bin Jubair.

Bahkan atas sebab ini jugalah kami berpendapat - Allah Maha Mengetahui - kenapa tiada walau satu riwayat sahih pun dari para Salafussoleh bahawa mereka para Salafussoleh memelihara dan beramal dengan bersedekap di dada ketika solat.

Allah hu’alam, Allah yang Maha Mengetahui


Klik pada video dibawah utk melihat Sifat Sembahyang Yahudi, dan perhatikan cara mereka sujud, rukuk, dan cara mereka bersedekap boleh dilihat mulai minit ke 1.00.

You are here: Projek AFN Kajian Kenapa Imam Ahmad Membenci Sedekap Di Dada : Satu Analisis