Para Pendukung Sunnah Di Malaysia Hanyalah Pengikut Gerakan Wahhabiyah (Ulangan)
Aqidah Penulis : Dr Azwira Abdul Aziz

Siapa Dan Apa Aqidah Pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab?

Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab At-Tamimi (1115-1206H/1703-1792M) ialah salah seorang tokoh Ahli Sunnah yang telah melancarkan gerakan dakwah islah di Semenanjung Tanah Arab untuk menghidupkan semula Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dimatikan oleh kejahilan umat Islam dalam pelbagai aspek aqidah dan syariat. Dalam konteks ini, Yusuf Al-Qaradawi berkata:

Maksudnya: “Adapun Imam Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab di Semenanjung Arab, yang menjadi keutamaan di sisinya ialah untuk menjaga aqidah dan batas tauhid daripada gejala kesyirikan dan khurafat yang telah mencemar serta mengeruhkan sumber dan kejernihannya. Untuk itu, beliau telah mengarang pelbagai buku dan risalah serta melancarkan gerakan dakwah bagi memusnahkan pelbagai fenomena kesyirikan ... ”[2]

Manakala Wahbah az-Zuhaili [3] pula berkata

Maksudnya: “(Gerakan) Dakwah Sheikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab pada kurun ke 12 hijrah (18 masehi) adalah antara suara kebenaran yang paling berani dan antara pendakwah islah, pembinaan dan jihad yang paling besar untuk mengembalikan keteguhan pegangan individu muslim terhadap manhaj Salaf, untuk memperbaharui kehidupan Islam di kalangan awam yang telah dicemari oleh (gejala) khurafat, waham, bid’ah dan penyelewengan ... ” [4]

Untuk mengukuhkan lagi bukti kebenaran pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, maka seterusnya diperturunkan kata-kata yang beliau ungkapkan dalam risalahnya kepada penduduk Al-Qasim, katanya Maksudnya:

“Aku mempersaksikan kepada Allah dan kepada para Malaikat yang hadir di depanku, dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku beri’tiqad (berpegang) dengan i’tiqad (pegangan) firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk.

Antara (ciri) keimanan dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia sifatkan DiriNya dengannya dalam kitabNya melalui lidah RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) dan tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan aku beri’tiqad bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Justeru aku tidak menafikan dariNya apa yang Dia sifatkan diriNya dengannya, aku juga tidak tahrifkan kata-kata (Al-Quran) dari maksud-maksudnya, aku juga tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama serta ayat-ayatNya, aku juga tidak mentakyif (menggambarkan rupa bentuk) dan tidak mentamthil (mengumpamakan makna) sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana Dia Maha Tinggi, tiada persamaan, tiada kesetaraan dan tiada sekutu bagiNya, Dia tidak boleh dikiaskan dengan makhlukNya kerana sesungguhnya Dia yang Maha Suci lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selainNya.

Dia yang paling benar dan paling elok percakapanNya, Dia mensucikan diriNya daripada apa yang disifatkan pada diriNya dengannya oleh para penyeleweng dari kalangan ahli takyif dan tamthil, dan (Dia juga mensucikan diriNya) daripada apa yang dinafikan dariNya oleh para penafi dari kalangan ahli tahrif dan ta’til, lalu Dia berfirman: “Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dari apa yang mereka sifatkan, dan selamat sejahtera ke atas sekelian Rasul, dan segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam” [5].

Firqah najiah (berada) di pertengahan antara puak Qadariyyah dan Jabriyyah dalam bab perbuatan-perbuatanNya Yang Maha Tinggi, mereka juga berada di pertengahan antara puak Murji’ah dan Wa’idiyyah dalam bab wa’id (janji) Allah, mereka juga berada di pertengahan antara puak Haruriyyah (aliran Khawarij) dan Mu’tazilah atau antara puak Murji’ah dan Jahmiyyah dalam bab iman dan agama, dan mereka juga berada di pertengahan antara puak Rafidah dan Khawarij dalam bab Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”.

“Dan aku beri’tiqad (berpegang) bahawa Al-Quran itu Kalam Allah yang diturunkan, ia bukan makhluk, daripadaNya ia bermula dan kepadaNya ia kembali, Dia berfirman dengannya secara hakiki dan Dia menurunkannya ke atas hambaNya, rasulNya, pemegang amanah wahyuNya, dan juga dutaNya antara Dia dan hamba-hambaNya, (iaitu) Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Aku beriman bahawa Allah Maha Berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki, tidak berlaku sesuatu melainkan dengan kehendakNya, tiada suatu pun yang terkeluar daripada kehendakNya, tiada suatu pun dalam alam ini yang terkeluar daripada takdirNya dan tidak terbit melainkan melalui pentadbiranNya, tiada seorang pun yang terkecuali daripada Qadar yang dihadkan dan dia tidak melangkaui apa yang telah tertulis baginya di Lauh Mahfuz.

Dan aku beri’tiqad dengan keimanan terhadap setiap apa yang dikhabarkan dengannya oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, berkenaan perkara yang akan berlaku selepas kematian, aku beriman dengan (adanya) fitnah kubur dan ni’matnya, dan juga (aku beriman) dengan pengembalian ruh ke dalam jasad, dimana sekalian manusia bangkit (menuju) kepada Tuhan semesta alam dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup[6], Matahari menghampiri mereka. Kemudian dipacakkan neraca-neraca penimbang amalan lalu ditimbang dengannya segala amalan para hamba. Sesiapa yang berat neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang beroleh kemenangan, manakala sesiapa yang ringan neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang merugikan diri mereka sendiri, yang kekal di dalam Neraka Jahannam. Kemudian dibahagi-bahagikan pula dawawin (buku-buku amalan), maka ada yang mendapatnya melalui tangan kanan dan ada pula yang mendapatnya melalui tangan kiri.

Aku beriman dengan (adanya) kolam Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di tengah-tengah laman Hari Qiamat, (warna) airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, bekas-bekas (minumannya) sebanyak bilangan bintang di langit, sesiapa yang meminum seteguk darinya tidak akan dahaga selepas itu selama-lamanya. Aku beriman bahawa titian Sirat itu terbentang di atas tebing Neraka Jahannam, (cara) manusia melintasinya mengikut kadar amalan mereka.

Aku beriman dengan (adanya) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafa’at dan yang dibenarkan memberi syafa’at, tidak ingkar (kewujudan) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bid’ah dan golongan sesat. Namun, ia (syafa’at) tidak akan terhasil melainkan selepas keizinan dan keredhaan, sebagaimana firmanNya: “Dan mereka (para Malaikat) tidak memberi syafa’at melainkan kepada orang yang diredaiNya” [7]. Dia juga berfirman: “Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya” [8]. Dia juga berfirman: “Dan berapa ramaikah Malaikat di langit yang syafa’at mereka tidak sedikitpun berguna melainkan sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang Dia kehendaki dan yang Dia redhai” [9]. Sedangkan Dia tidak akan redha melainkan tauhid dan Dia juga tidak akan mengizinkan kecuali untuk ahlinya (ahli tauhid). Manakala golongan musyrikin pula, maka tiada bagi mereka habuan syafa’at sedikitpun, sebagaimana firmanNya: “Maka tiada berguna lagi bagi mereka syafa’at dari orang yang memberi syafa’at”[10].

Aku beriman bahawa Syurga dan Neraka itu adalah dua makhluk, dan bahawa kedua-duanya sudah sedia wujud pada hari ini, dan bahawa kedua-duanya tidak akan binasa, dan bahawa orang beriman akan melihat Tuhan mereka dengan penglihatan mereka pada Hari Qiamat, sebagaimana mereka melihat bulan pada malam purnama, mereka tidak tertanya-tanya [11] ketika melihatNya.

Aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah pemutus segala Nabi dan Rasul, tidak sah iman seseorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulannya serta mengaku kenabiannya, dan bahawa sebaik-baik umatnya ialah Abu Bakr As-Siddiq, kemudian ‘Umar Al-Faruq, kemudian ‘Uthman Zu An-Nurain, seterusnya ‘Ali Al-Murtada, dan diikuti oleh baki 10 orang (yang dijamin masuk syurga), kemudian Ahli Badr, kemudian Ahli Syajarah, Ahli Ba’iah Al-Ridwan dan seterusnya seluruh para Sahabat radhiallahu ‘anhum, aku beristighfar untuk mereka, aku menahan diri (daripada berkata) mengenai keburukan mereka, aku diam mengenai perselisihan yang berlaku antara mereka, aku meyakini kelebihan mereka kerana beramal dengan firmanNya yang Maha Tinggi: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami! Ampunkanlah kami dan juga saudara-saudara kami yang terlebih dahulu beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap orang beriman, Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”[12]. Aku bertaraddi (menyebut radiallah) terhadap para isteri Nabi yang suci daripada sebarang kejahatan.

Aku memperakui (adanya) karamah dan kasyaf bagi para wali, tetapi mereka tidak berhak mendapat sedikitpun daripada hak (ketuhanan) Allah, tidak boleh dipohon daripada mereka perkara yang hanya mampu dilakukan oleh Allah. Aku tidak memperakukan Syurga atau Neraka bagi seorangpun dari kalangan orang Islam melainkan orang yang telah diperakukan oleh Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam, cuma aku berharap (balasan Syurga) bagi orang baik dan aku bimbangkan (balasan Neraka) ke atas orang jahat.

Aku tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan orang Islam dengan sebab dosa dan aku juga tidak mengeluarkannya dari daerah (agama) Islam. Aku berpendapat bahawa jihad itu berterusan bersama setiap Imam (Khalifah), (tak kira) sama ada dia orang baik atau jahat, harus solat berjamaah di belakang mereka, jihad itu berterusan semenjak Allah mengutuskan (Nabi) Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah generasi terakhir umat ini membunuh Dajjal, ia (jihad) tidak terbatal oleh kezaliman (Imam) yang zalim atau keadilan (Imam) yang adil.

Aku berpendapat wajib patuh serta taat kepada para pemimpin orang Islam, sama ada yang baik atau yang jahat selagi mereka tidak menyuruh melakukan maksiat terhadap Allah. Sesiapa yang memegang jawatan Khalifah manakala orang ramai pula berkumpul untuk (membai’ah)nya serta mereka redha dengannya, sedangkan dia menguasai mereka dengan kekerasannya sehingga dia menjadi Khalifah, maka wajib mentaatinya dan haram keluar menentangnya.

Aku berpendapat (wajib) menjauhi Ahli Bid’ah dan membezai mereka sehingga mereka bertaubat, aku menghukum mereka secara zahir dan aku serahkan rahsia-rahsia (hati) mereka kepada Allah, aku beri’tiqad bahawa setiap perkara baru dalam agama itu adalah bid’ah.

Aku berpegang bahawa iman itu adalah mengucap dengan lidah, beramal dengan anggota badan dan beri’tiqad dengan hati, ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat, ia ada lebih 70 cabang, yang paling tinggi ialah syahadah La Ilaha Illallah manakala yang paling rendah ialah membuang bahaya dari (permukaan) jalan. Aku berpendapat wajib menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran mengikut apa yang diwajibkan oleh syari’at Nabi Muhammad yang suci. Maka inilah ringkasan aqidah, yang telah aku karangnya dalam keadaan minda yang sibuk agar kamu dapat meneliti apa yang ada padaku, dan hanya Allah sahajalah yang mewakili apa yang kami kata” [13].

Demikianlah ringkasan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang sengaja penulis paparkan di sini untuk dinilai oleh para pembaca sekalian, manakah pendapat beliau yang dikatakan menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keseluruhan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu adalah didasarkan kepada nas-nas sahih sama ada daripada Al-Quran atau As-Sunnah dan ia jelas menyamai maksud keseluruhan kata-kata Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah.

Justeru apabila menjelaskan kebenaran pegangan Wahabiyyah ini, ‘Abd Ar-Rahman Ar-Ruwaishid berkata:

“Pemikiran Wahabiyyah Salafiyyah itu bukanlah suatu agama baru atau suatu mazhab baru sebagaimana yang diwar-warkan oleh seteru-seterunya. Sesungguhnya ia adalah (gerakan) menghidupkan (ajaran) agama yang sebenar, yang terhasil daripada usaha ikhlas untuk menyeru kepada pengembalian bentuk ketulenan Islam dan pengambilan hukum syara’’ daripada sumbernya yang suci. Sebagaimana ia juga menyeru kepada gerakan penyucian yang menyeluruh daripada setiap perkara kesyirikan, bid’ah, penyelewengan dan kesesatan yang diselinap masuk ke dalam pegangan agama sehingga memomokkan hakikat iman, merosakkan kemurnian agama ini serta menjauhkan penganutnya daripada kekuatan iltizam sebagai suatu pegangan dan amalan” [14]

Kenapakah Gerakan Dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab Dimomok-Momokkan Sebagai Wahabi?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu benar, maka kenapakah ada usaha untuk memomok-momokkan gerakan dakwah beliau dengan gelaran Wahabiyyah itu? Jawapannya:

Pertama:

Wahabi atau Wahabiyyah adalah gelaran yang diberikan oleh musuh-musuh Sunnah ke atas Ahli Sunnah dengan tujuan untuk memomok-momokkan usaha mereka menegakkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Gelaran ini pada mulanya dicetuskan oleh para pendukung khurafat dari kalangan orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu.

Akan tetapi kesempatan ini diambil oleh pihak penjajah Inggeris untuk memburuk-burukkan gerakan dakwah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, kerana mereka bimbang gerakan itu akan mencetuskan kebangkitan dan kesedaran dunia Islam untuk menentang mereka. Buktinya, pihak Inggeris pernah menggunakan istilah Wahabi ke atas para ulama Deoband (pendukung Sunnah) yang menentang penjajahan mereka di India.[15] Sedangkan para ulama berkenaan tidak ada hubungan langsung dengan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, melainkan hubungan secara kebetulan dalam bentuk kesatuan manhaj kerana mereka berpijak di atas landasan Sunnah yang sama. Ini bermakna gelaran itu sengaja dipopularkan oleh pihak kolonialis barat untuk memburuk-burukkan sebarang gerakan yang mengancam mereka.

Dalam konteks negara kita, definisi yang diberikan oleh individu-individu tertentu terhadap istilah wahabiyyah itu sendiri menggambarkan kefahaman dan persepsi mereka yang bercanggah, bercampur aduk dan bersimpang siur. Ada yang mendefinisikan Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tawassul, syafa’at dan lain-lain [16].

Ada yang mentakrifkan fahaman Wahabi itu sebagai amalan yang menyifatkan kebanyakan amalan sunat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan orang Islam di Malaysia tidak perlu [17], dan ada yang mentakrifkannya sebagai satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar [18].

Kepelbagaian definisi ini jelas menggambarkan percanggahan persepsi disebabkan perbezaan sumber dan tahap maklumat yang diperolehi. Bandingkanlah definisi-definisi ini dengan petikan kata-kata Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab di atas, seperti katanya yang bermaksud:

“…dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku berpegang dengan pegangan firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk...Aku beriman dengan (adanya) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafa’at dan yang dibenarkan memberi syafa’at, tidak ingkar (kewujudan) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bid’ah dan golongan sesat”.

Dengan kenyataan seperti ini, maka dapat disimpulkan bahawa faktor di sebalik pendefinisian Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, syafa’at dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah semata-mata kejahilan dan pengkhianatan.

Kedua:

Kembali kepada persoalan di atas, kenapa pula ada usaha dari pihak orang Islam sendiri untuk memomok-momokkan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab? Jawapannya, persepsi negatif sesetengah pihak terhadap gerakan tersebut berlaku hanya disebabkan oleh dua faktor:

1. Kejahilan mereka tentang pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang sebenar, sedangkan pegangannya itu adalah juga pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan perkataan lain pihak yang memburuk-burukkan itu bukan sahaja tidak tahu pegangan sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, bahkan pada masa yang sama mereka juga tidak tahu apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Sebahagian amalan yang dilihat sebagai bid’ah dan khurafat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, tidak dianggap sedemikian oleh pihak-pihak yang memusuhinya.

Sebagai contoh bagi faktor kedua di atas, amalan memohon hajat di perkuburan yang dianggap memiliki keramat dilihat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab sebagai perkara khurafat dan kesyirikan yang mirip kepada penyembahan berhala, sedangkan amalan itu tidak dianggap sedemikian oleh sesetengah pihak yang memusuhinya. Dalam konteks ini, seorang ‘tokoh ulama melayu’ [19] semasa berkata:

“Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi Ahli Sunnah, dan berdoa di makam (kuburan) orang (mati) itu, dengan barakahnya, maka doa itu boleh dikabulkan dengan segera” [20].

Kata-kata ini jelas menunjukkan kepercayaan si penuturnya terhadap kekeramatan makam orang yang dianggap shalih, sehingga dia menganggapnya sebagai wasilah (perantara) untuk dikabulkan doa atau dengan perkataan lain dia ‘bertawassul’ dengan kubur tersebut. Orang yang mengungkapkan kata-kata seumpama ini atau yang telah biasa mengamalkan amalan seumpama itu sudah tentu tidak boleh menerima pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dalam hal berkenaan. Dalam konteks ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab berkata:

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu sangka bahawa ini bukanlah suatu (bentuk) penyembahan berhala yang disebut dalam Al-Quran, maka ia adalah pelik kerana sesungguhnya aku tidak mengetahui seorang pun dari kalangan ahli ilmu yang berbeza pendapat dalam hal itu. Kecuali, jika berlaku ke atas seseorang itu apa yang telah berlaku ke atas golongan Yahudi dari segi keimanan mereka kepada Al-Jibt Wa At-Taghut (Syaitan)… Kenapa tidak, sedangkan sebahagian daripada mereka yang mengingkari ke atasku perkara ini dan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli ilmu, mereka (turut) bergelumang dengan kesyirikan yang paling besar, bahkan mereka menyeru (berdoa) kepadanya. Sekiranya mereka dengar ada seorang insan yang mentajridkan (menunggalkan) tauhid, nescaya mereka melemparkan ke atasnya (tuduhan) kekufuran dan kefasikan, tetapi kami minta berlindung dengan Allah daripada (mendapat) keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah” [21].

Oleh kerana para pendukung khurafat tiada hujah sahih untuk membuktikan kebenaran amalan bertawassul dengan kubur, selain hujah ‘dengar cakap’ kononnya ia adalah amalan mulia di sisi Ahli Sunnah, mereka tiada pilihan melainkan mengambil pendekatan ‘pertahanan hadapan’ dengan memburuk-burukkan imej Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab supaya masyarakat Islam awal-awal lagi tidak mengambil tahu dalil dan hujah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dalam persoalan itu.

Persoalannya, pendapat siapakah yang benar? Pendapat tokoh yang mendakwa amalan tersebut sebagai mulia di sisi Ahli Sunnah atau pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang mendakwa kesepakatan para ulama tentang kesyirikan amalan berkenaan? Dalam sebuah risalah berkenaan ajaran sesat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat kenyataan yang berbunyi:

“Di antara bentuk-bentuk amalan khurafat yang berlaku di kalangan orang Islam di negara ini ialah: (a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya” [22].

Orang yang ada sedikit kecerdikan sekali pun boleh memahami bahawa kenyataan ini adalah menepati pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dan menyalahi pendapat ‘tokoh ulama melayu’ itu. Justeru apakah boleh dikatakan bahawa para penyusun risalah terbitan JAKIM itu terdiri daripada para pengikut fahaman Wahabi, kerana mereka mengeluarkan kenyataan yang menyamai pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu, atau sebaliknya kenyataan itu mengesahkan status ‘tokoh ulama melayu’ berkenaan sebagai pendukung khurafat dan bid’ah? Jika terbukti bahawa pendapat tokoh ulama melayu itu salah, maka bagaimana dengan dakwaan beliau bahawa pendapatnya itu adalah pendapat Ahli Sunnah? Bukankah ini membuktikan bahawa dakwaan itu merupakan suatu pembohongan dan pengkhianatan ke atas Ahli Sunnah dan seterusnya merupakan pengkhianatan terhadap ajaran agama?

Dari Manakah Asal Usul Gelaran Wahabi?

Jika dilihat dari sudut bahasa, perkataan Wahabiyyah itu sangat quddus (suci) kerana ia berasal daripada perkataan Wahhab yang merupakan salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta’ala (Al-Wahhab). Perkataan Wahhab itu juga sinonim dengan nama ayahnya ‘Abd Al-Wahhab, manakala namanya yang sebenar (Muhammad) menyamai nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Jika dilihat dari segi kesesuaian nama, sepatutnya gerakan itu digelar Muhammadi dan bukannya Wahabi, kerana orang yang dianggap sebagai pengasas gerakan itu bernama Muhammad dan bukannya Wahhab.

Persoalannya, kenapakah suatu gerakan yang dianggap sesat itu digelar dan dinisbahkan kepada nama Allah yang Maha Quddus, dan juga kenapakah ia dinisbahkan kepada nama ayah dan bukan kepada nama sebenar tokoh berkenaan? Sebenarnya, penulis sendiri sejak sekian lama tertanya-tanya berkenaan hal ini, sehinggalah seorang sahabat mengisyaratkan kepada kewujudan sebuah risalah yang membahaskan persoalan tersebut. Risalah itu mencatatkan bahawa istilah Wahabiyyah itu pada asalnya adalah gelaran bagi puak-puak Khawarij yang muncul di kawasan Utara Afrika dan Maghribi. Ia dinisbahkan kepada pimpinan puak Khawarij kerajaan Ar-Rustumiyyah bernama ‘Abd Al-Wahhab Ar-Rustumi dan juga pimpinan puak Khawarij Al-Haruriyyah yang bernama ‘Abd Allah Ibn Wahab Al-Wasibi. Kedua-dua puak Khawarij ini muncul lama sebelum kemunculan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab [23].

Oleh kerana ada persamaan pada nama mereka dari segi kewujudan perkataan wahhab itu, maka persamaan itu, yang lebih merupakan satu “kebetulan”, diambil kesempatan oleh para pendukung bid’ah untuk mengaitkan gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dengan puak berkenaan. Dengan memberinya gelaran puak Khawarij, maka mereka telah berjaya memburukkan imej gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab pada kaca mata sebahagian besar umat Islam yang jahil. Akibatnya, usaha baik yang dilancarkan untuk memurnikan tauhid, membetulkan aqidah dan menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah disalah anggap sebagai gerakan Khawarij yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Imej gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu menjadi lebih buruk apabila para pendukung bid’ah dengan niat yang jahat sengaja mengaitkannya dengan faktor kejatuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah Turki (akan dijelaskan dalam perbincangan Tohmahan 7, insyaAllah). Manakala pada hari ini, terutamanya selepas peristiwa 11 September, istilah wahabiyyah digunakan secara negatif pula oleh media-media barat bagi menggambarkan para pendukung Sunnah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai fundamentalis, ekstrimis, pengganas dan militan agama. Apa yang menyedihkan persepsi negatif barat ini diterima pakai oleh umat Islam sendiri sehingga mereka turut memerhatikan saudara seislam mereka melalui kaca mata barat. Wala Haula Wala Quwwata Illa Billah.
____________________
[1] Dinukil dan diubahsuai oleh penyusun daripada buku Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar oleh Dr Azwira Abdul Aziz, Syarikat Jahabersa, Johor, ms. 103-130.
[2] Al-Qaradhawi, Yusuf Al-Qaradhawi, Fiqh al-Alawiyyat, maktabah Wahbah, Kahera, 1996, hal. 263.
[3] Ulama masyhur dari Syria yang mengarang kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, sudah diterjemah atas judul Fiqh dan Perundangan Islam dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[4] Wahbah Az-Zuhailiyy, Ta’aththur Ad-Dakwah Al-Islamiyyah Bi Dakwah Ash-Sheikh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab. Dalam : Said Al-Fawaid, atas talian: http://saaid.net/pfv.php..
[5] As-Saffat : 180-182
[6] Abd Allah Ibn Muslim Ibn Qutaibah, Gharib Al-Hadith, Tahqiq: ‘Abd Allah Al-Jaburi, Matba’ah Al-’Ani, Baghdad, Iraq, 1397H, 1: 558
[7] Al-Anbiya’, 21: 28.
[8] Al-Baqarah, 2: 255
[9] An-Najm, 53: 26
[10] Al-Muddaththir, 74: 48
[11] Muhammad Ibn Mukrim Ibn Manzur, Lisan Al-’Arab, Dar Sadir, Beirut, Lubnan, t.th, 12: 358.
[12] Al-Hasyr, 59: 10.
[13] Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Muallafat Sheikh Al-Imam Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Tahqiq: ‘Abd Al-’Aziz Zaid Ar-Rumi, Muhammad Baltaji, Sayyid Hijab, Jami’ah Al-Imam Ibn Sa’ud, Riyadh, Arab Saudi, t.th, 5: 8-11.
[14] ‘Abd Ar-Rahman Ar-Ruwaishid, Al-Wahhabiyah: Harakah Al-Fikr Wa Ad-Daulah, hal: 10-11, dipetik daripada Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-‘Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, hal: 33
[15] Muhammad Ibn Manzur An-Nu’mani, Di’ayat Mukaththafah Did Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Majalah Al-Muqtataf, vol: 27, Hal: 295, Dalam: ‘Abd Al-’Aziz Ibn Muhammad Ibn ‘Ali Al-’Abd Al-Latif, Da’awa Al-Munawi’in Li Dawah Asy-Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab ‘Ard Wa Naqd, Dar Taibah, Riyadh, Arab Saudi, 1989, Hal: 240.
[16] Uthman Al-Muhammadi, Fahaman Wahhabi Menular, Utusan Malaysia, 26 Nov. 2005
[17] Mustafa Abdul Rahman, Wahhabi Jejaskan Perpaduan Umat Islam, Utusan Malaysia, 27 Nov. 2005.
[18] Mohd. Shauki Abd Majid, Siapa Wahhabi Sebenar?, Utusan Malaysia, 4 Dis. 2005
[19] Beliau yang dimaksudkan ialah Muhammad Uthman Al-Muhammadi
[20] Muhammad Uthman Al-Muhammadi, Tauhid Menentang Syirik Dalam Fahaman Dan Amalan, Himpunan Kertas Kerja Isu Dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2002, Hal: 215.
[21] Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 47.
[22] Haji Mustafa Abdul Rahman, Haji Abdul Hamid Yunus, Haji Zaaba Yusof, Abdul Aziz Jusoh dan Abdul Roni Tahir, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, 2000, Hal: 9-10.
[23] Muhammad ibn Sa’ad Ash-Shuwai’ir, Tashih Khata’ Tarikhi Haula Al-Wahhabiyyah, 1413H, Hal: 4, Dalam Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 36.
(4160 reads)
Toggle Content Related Links
 More about Aqidah


Toggle Content Article Rating
Average Score: 5
Votes: 3


Please take a second and vote for this article:

Excellent
Very Good
Good
Regular
Bad


Toggle Content Options

 Printer Friendly Page  Printer Friendly Page

 Send to a Friend  Send to a Friend


Toggle Content Hadith Today
Sesiapa yang menyekutukan Allah dengan sesuatu dia masuk neraka, tetapi sesiapa yang menemui Allah dalam keadaan tidak mensyirikkan Allah pasti masuk syurga.

-- Mutafaq'alaih

Toggle Content Pautan Pilihan




Toggle Content Main Menu
 Home Community Members options Forums Search Web Affiliates

Toggle Content Top 10 Download
  1: Tafsir Ibnu Katsir Juz 1
  2: Shahih Sunan Ibnu Majah, Jilid 3
  3: Quran Flash (Tajweed)
  4: Hadith E-Book
  5: Al-Bidayah wa Nihayah, Masa Khulafaur Rasyidin
  6: Tafsir Ibnu Katsir Juz 2
  7: Tafsir Ibnu Katsir Juz 4
  8: Tafsir Ibnu Katsir Juz 3
  9: Quran Explorer
  10: Al-Raheeq al-Makhtum

Toggle Content User Info

Welcome Anonymous

Nickname
Password

Membership:
Latest: krolnaim
New Today: 0
New Yesterday: 0
Overall: 6806

People Online:
Members: 0
Visitors: 39
Bots: 0
Total: 39
Who Is Where:

Staff Online:

No staff members are online!

Toggle Content Top Posters
   thtl 
 Posts: 
 45516 

   FATHI 
 Posts: 
 14197 

   NAZ 
 Posts: 
 12875 

   Ibn_Firdaus 
 Posts: 
 11753 

   mustaqill 
 Posts: 
 11488 

   abu_usamah 
 Posts: 
 9944 


   kayrollz 
 Posts: 
 7919 

   mfauzy 
 Posts: 
 7045 

   Muhammady7 
 Posts: 
 6957 

   AqilHaq 
 Posts: 
 6825 

   Abu_Imran 
 Posts: 
 6735 

   Mohd.Ikram 
 Posts: 
 6613 

   Athma_Godam 
 Posts: 
 6591 

   ummimq 
 Posts: 
 5902 

   abuQays 
 Posts: 
 5779 

   Abuputri2 
 Posts: 
 5724 

   cikgurahim 
 Posts: 
 5033 

   abulwafaa 
 Posts: 
 4962 


   abdullah_ameen 
 Posts: 
 4444 

   abuirfan 
 Posts: 
 4409 

   iman_taqwa 
 Posts: 
 4391 

   alak 
 Posts: 
 4351 

   Yusof 
 Posts: 
 4213 



The logos and trademarks used on this site are the property of their respective owners
We are not responsible for comments posted by our users, as they are the property of the poster