AFN V2

Dua Lelaki Mencabar Undang-undang Syariah Negeri Sembilan

User Rating: / 1
PoorBest 

PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini Isnin membenarkan dua lelaki termasuk anak bekas mufti Perlis mencabar Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang mendakwanya kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membenarkan permohonan Fathul Bari Mat Jahya, anak bekas mufti Perlis Datuk Mat Jahya Hussin dan Nik Amirul Faiz Nik Md Yusof memfailkan petisyen untuk mendapatkan deklarasi bahawa Seksyen 53 (1) Enakmen 1992 itu tidak sah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah itu memberi kebenaran setelah responden -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan -- membenarkan permohonan tersebut.

Dua hakim lain adalah Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Fathul Bari, 30, seorang guru agama di Bahagian Kaunseling Institut Jantung Negara (IJN) dan Nik Amirul Faiz, 25 seorang arkitek, dan dua yang lain ditahan pada majlis Maulidur Rasul di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 28 Feb di mana Fathul Bari didakwa memberikan ceramah agama.

Mereka kemudian dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sembilan.

Fathul Bari didakwa mengajar agama tanpa tauliah sementara Nik Amirul dan dua pengikut lain, Abdullah Sanusi Othman, 40, dan Khairudin Daud, 55 dituduh bersubahat.

Kedua-dua memfailkan satu lagi saman di Mahkamah Tinggi Seremban pada Februari lepas terhadap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan kerajaan negeri kerana penahanan salah itu.

Dalam saman itu, Fathul Bari dan Nik Amirul juga memohon relif deklarasi dan alternatif, mereka mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa pertuduhan terhadap mereka tidak mengikut perlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa proseding Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara menunggu petisyen kedua-dua selesai di Mahkamah Persekutuan.

Dalam notis usul mereka untuk membenarkan satu petisyen, kedua-dua mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang yang mewujudkan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah

Sementara itu, Fathul Bari dan Nik Amirul berkata Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan kuasa kepada DUN untuk mengubal undang-undang bagi mewujudkan dan hukuman kepada pesalah yang mengajar agama Islam bertentangan dengan ajaran Islam.

Mereka mendakwa bahawa Mahkamah Rendah Syariah Negeri Sembilan tidak ada bidangkuasa untuk mencuba dan menghukum kesalahan di bawah Seksyen 53 (1) Enakmen Jenayah kerana seksyen itu bukan satu kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.


-- BERNAMA

Laporan-laporan lain:

http://www.malaysiakini.com/news/136465
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ulama-muda-umno-dibenar-cabar-majlis-agama-negeri-sembilan/
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/7/5/nation/20100705131836&sec=nation

You are here: Artikel View Perundangan Dua Lelaki Mencabar Undang-undang Syariah Negeri Sembilan