AFN V2

Takdir Rezeki

User Rating: / 9
PoorBest 

Oleh: Arabian

Date: 17 Ogos 2007

Time: 16.23 pm

'Aku nak jadi kaya macam orang kaya sebab hidup senang lenang, tak perlu susah nak cari rezeki berhempas pulas macam aku ni, ada rumah besar, kereta besar, tak perlu nak bersesak dengan orang ramai bila naik bas bila pergi ke tempat kerja'. Ini merupakan antara dialog yang biasa kita dengar dalam sesetengah telemovie atau cereka tempatan memaparkan situasi kehidupan seharian sekaligus memberi petanda terhadap kepentingan status sosial di kalangan masyarakat hari ini dalam memahami makna bahagia dari sudut kehidupan moden. Bila kaya, maka bahagia dan dihormati orang. Sebaliknya jika miskin atau kurang berharta seolah-olah tiada kebahagiaan disitu kerana tidak mendapat perhatian dari orang sekeliling bahkan dilihat seperti tiada kedudukan untuk diberikan penghormatan selayaknya. Ini mesej jelas serta isyarat terang akan suasana menyelubungi kehidupan masa kini yang sebenarnya, sekadar meneruskan kesinambungan ceritera zaman lampau melalui lipatan sejarah ketamadunan manusia dalam isu beza orang kaya dan orang miskin dalam susunan sosial.

Rezeki dah ditetapkan

Apa jua persepsi manusia terhadap keadaan tersebut, sebaiknya bagi kita sebagai umat Islam yang berpaksikan aqidah tauhid kepada Allah hendaklah sentiasa bersangka baik kepadaNYA dalam bab kurniaan rezeki kerana semuanya telah ditetapkan ketika roh ditiupkan dalam alam arwah dengan memetik hadis dalam Sahih Muslim dari Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya:

Rasulullah s.a.w seorang yang benar serta dipercayai bersabda: Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya samada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t di mana tiada tuhan selain-Nya. (Kitab Takdir, Bab Peringkat Kejadian Manusia Di Dalam Perut Ibunya, Termasuk Penentuan Rezeki, Tempoh Kematian, Amalan, Juga Mengenai Nasibnya Samada Mendapat Kecelakaan Atau Kebahagiaan dengan nombor 4781). Dalam Syarah Muslim oleh Imam Nawawi, kebenaran Rasulullah bila menyampaikan khabar wahyu disebabkan baginda benar dalam ucapannya dan dibenarkan melalui (bukti) dari wahyu yang diturunkan kepadanya. Seterusnya, maksud hadis ini menerusi syarah oleh Imam Nawawi diringkas pada perkataan 'setiap perkara adalah terikat dengan sebelumnya' (http://hadith.al-islam.com/html_6152 ) iaitu merujuk pada ketetapan yang telah ditulis ke atas seseorang semasa roh ditiupkan pada usia 3 bulan berasaskan keterangan hadis tersebut. Bahkan setiap makhluk Allah telah ditentukan rezeki untuk mereka biarpun ada yang tidak beriman dan menyekutukan Allah, selayaknya mesej dalam hadis ini dari Abu Musa r.a katanya:

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tiada seorang pun yang dapat bersabar menghadapi dugaan kesakitan sebagaimana yang baginda dengar daripada Allah s.w.t. Bahkan mereka menyekutukan Allah serta beranggapan Dia mempunyai anak. Namun begitu Allah s.w.t tetap melindungi dan mengurniakan rezeki kepada mereka (Sahih Muslim, Kitab Suasana Hari Kiamat, Syurga dan Neraka, Bab Tiada Seorang Pun Yang Dapat Bersabar Menghadapi Dugaan Kesakitan Daripada Allah s.w.t, nombor 5016). Manakala hadis dari Abdullah bin Qais r.a dalam tajuk sama, terdapat pertambahan lafaz ini 'namun begitu, Allah s.w.t tetap memberi rezeki, melindungi mereka dan memperkenankan permintaan mereka' dengan nombor 5017 dalam Sahih Muslim. Ulama menyebut, makna hadis ini bahawa Allah Taala mempunyai sifat belas yang luas termasuklah ke atas orang kafir dengan mengurniakan rezeki kepada mereka biarpun mereka mensyirikkanNYA dan menasabkan anak kepadaNYA (Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi, http://hadith.al-islam.com,html_5016)

Beriman dengan perkara ghaib

Kita telah diajar agar beriman dengan apa jua yang telah diturunkan dari wahyu Allah melalui apa yang diajar baginda s.a.w selaku perantara kepada ummat, khasnya dalam bab keimanan terhadap perkara ghaib khasnya takdir. Untuk itu, biarpun ketetapan takdir telah direncanakan misalannya berada tidak berharta atau melepasi tahap cukup makan namun ia tidak semestinya menolak usaha untuk menjadi insan lebih baik dari status kekurangan pada harta kerana kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku selepas hari ini, lusa dan seterusnya berasaskan sabda baginda s.a.w dari hadis Abu Hurairah r.a dalam sepotong hadis apabila Jibril a.s datang mengajar islam, iman dan ihsan dalam Sahih Muslim, nombor: 10, Kitab Iman, Bab Keterangan Tentang Iman, Islam Dan Ihsan. Wajib Beriman Kepada Ketentuan Dari Allah s.w.t. Tanda tanda Orang Yang Tidak Beriman Dengan Ketentuan Allah Dan Memesongkan Kebenaran:

Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 iaitu, sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu (samada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.

Ibnu Kathir mentafsirkan makna ayat dari sudut yang luas dengan menyebut, maksud 'Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari' iaitu di dunia dan di akhirat manakala dalam tafsir Fathul Qadir, ia merujuk pada seorang terdiri dari kalangan manusia atau jin, malaikat dan nabi melibatkan perolehan perkara di dunia atau berkaitan dengan agama ( http://www.islamweb.net/ver2/archive/showayatafseer.php?SwraNo=31&ayaNo=34&TafseerNo=8 ).

Namun tidak bererti selama-lamanya dalam keadaan sebegitu kerana manusia tidak pernah tahu bahkan tidak akan sekali-kali dapat menjangka dengan tepat apa yang berlaku keesokannya, akan tetapi percaya pada ketetapan takdir bahawa setiap yang ditentukanNYA adalah baik untuk orang beriman sebagaimana larangan daripada cuba berdolak dalih terhadap takdir dalam hadis ini,

'Jika Allah Taala mengazabkan ahli langit dan bumi, maka DIA tidak berlaku zalim ke atas mereka, dan jika DIA mengasihi mereka, sesungguhnya rahmatNYA itu lebih baik ke atas mereka dari amalan mereka, sekiranya seorang pemuda, atau seorang pemilik emas menafkahkannya ke jalan Allah, Allah tidak menerima (nafkah itu) sehinggalah dia beriman dengan takdir, yang baik dan yang buruknya (dalam takdir Allah), dan mengetahui bahawa apa yang menimpa ke atasnya tidak bermaksud menyalahkannya dan apa yang ditimpa olehnya tidaklah pula untuk memberikan musibah untuknya.' (Kitab as-Sunnah oleh Al-Hafiz Ibnu Abi 'Asim/ 245 dengan sanad sahih). Begitu juga pesan dari Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (6/441) dari Abu Darda r.a dari Nabi s.a.w bersabda, 'Tidak sekali-kali masuk ke dalam syurga (Allah), orang yang mendustakan takdir (Allah).' (Silsilah Hadis Sahihah, nombor 675).

KurniaanNYA yang amat luas

Percayalah bahawa kurniaan Allah amat luas sebagaimana disebut dalam ayat 33, surah an-Nuur, 'Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya'

Dalam surah lain, Al-Anfal, ayat 26, 'Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermastautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur'

Kisah ibunda Nabi Isa a.s dalam surah Ali-Imran, ayat 37, 'Maka dia (Mariam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Mariam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya: Wahai Mariam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini? Mariam menjawab; Ia adalah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.'

Tidak mudah meminta

Sama ada terhimpit dengan kepayahan dan kesulitan, sebaiknya turutilah apa yang Nabi s.a.w pesan agar maruah terpelihara serta mengukuhkan azam bahawa rezeki tetap menyebelahi, selanjutnya hadis berkenaan tidak mudah meminta dari Abu Hurairah r.a:

Rasulullah s.a.w telah bersabda: Orang yang miskin itu bukanlah orang yang berjalan ke sana sini meminta-minta kepada manusia, kemudian diberikan dengan sesuap dua makanan dan sebiji dua buah kurma. Para sahabat bertanya: Kalau begitu siapakah orang miskin yang sebenarnya wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang tidak mendapati kesenangan yang mencukupi buatnya tetapi mereka tidak tahu kerana kesabaran dia menyembunyikan keadaannya dan tidak meminta-minta kepada orang lain, dia akan diberikan sedekah tanpa dia meminta daripada orang lain (Sahih Muslim, Nombor: 1722, Kitab Zakat, Bab Orang Miskin Yang Tidak Mendapati Kesenangan Dan Tidak Diketahui Mengenainya, Kemudian Dia Diberi Sedekah). Ini kerana ia merupakan seburuk-buruk amalan seolah-olah tidak percaya bahawa rezeki telahpun ditetapkan ke atas setiap orang dengan syarat berusaha, bahkan larangan tegas daripada meminta sedekah atas belas kasihan orang lain dipetik dari hadis Abdullah bin Umar r.a:

Sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: Peminta sedekah tidak akan berhenti dari meminta-minta sehinggalah bertemu dengan Allah dan pada saat itu tidak ada sepotong daging pun di wajahnya (Sahih Muslim, Kitab Zakat, no: 1724, Bab Makruh Atau Tidak Disukai Meminta minta Daripada Orang)

Biarpun lapar akibat kesulitan, percayalah ia lebih mulia daripada menjadi peminta sedekah kerana nikmat di syurgaNYA bahawa tidak akan sekali-kali merasa lapar sebagaimana dalam firmanNYA dalam surah Taha, ayat 118, 'Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang'

Jangan Berputus Asa

Sedangkan pepatah Melayu ada menyebut, sedangkan ulat dalam batu dapat hidup, sentiasalah yakin bahawa rezeki tetap menyebelahi dan elakkan dari meminta atau mengubah diri menjadi peminta ihsan orang lain, kerana sesungguhnya orang-orang beriman yang berjaya tetap percaya bahawa ketentuanNYA tetap terbaik untuk mereka asalkan tidak berputus asa dari rahmat Allah kerana itu adalah natijah mereka yang sesat dari petunjukNYA sebagaimana firman Allah dalam al-Hijr, ayat 56

Nabi Ibrahim berkata: Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat

Dan bukan pula seperti orang-orang kafir, seperti dalam surah Yusuf, ayat 87

Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir
Jangan pula disebabkan rasa tertekan dalam usaha mencari rezeki yang sememangnya telah ditetapkan hinggakan mengeluh lalu tanpa disedari mencercanya dengan kata-kata 'susahnya mencari rezeki' seolah-lupa bahawa mesej kewahyuan dari Nabi s.a.w amat lengkap untuk ummatnya. Moga beroleh syafaatnya kerana mematuhi pesanan manusia agung ini dalam bab mencari rezeki seperti dalam hadis dikeluarkan oleh Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Janganlah melengahkan (usaha mencari) rezeki, kerananya seorang hamba tidak akan mati sehinggalah rezeki paling akhir (untuknya di dunia) diberikan untuknya (dari ketetapan Allah), maka takutlah kepada Allah, dan perelokkan (bersungguh-sungguh dalam usaha) mencari rezeki, ambillah sumber halal dan tinggalkanlah yang haram. (Sahih al-Jami', nombor: 7325)

Jelas disini bahawa syaratnya, asalkan mahu berusaha dan tidak melengahkan usaha dalam mencari rezeki Allah, ianya pasti ada sepertimana apa yang ditetapkan Allah ke atas hambaNYA dalam takdir rezeki..

 

You are here: Artikel View Hadith Takdir Rezeki