AFN V2

Sempadan Pemisah Antara Mutaqaddimin dan Muta’akhkhirin

User Rating: / 11
PoorBest 


الحد الفاصل بين المتقدمين والمتأخرين

Sempadan Pemisah Antara Mutaqaddimin dan Muta’akhkhirin
[1]

Oleh: Al-Syaikh Al-Muhaddith Muhammad Al-Amin (www.ibnamin.com)
Diterjemah oleh: Muhammad Fathi Ali (Panel Hadith www.al-fikrah.net ) [2]
Disemak oleh: Mohd `Adlan Mohd Shariffuddin (Panel Hadith www.al-fikrah.net )
 

الصواب أن عصر السلف الصالح ينتهي بحدود عام 300هـ، فيكون النسائي (وهو آخر الأئمة الستة أصحاب الكتب المشهورة في السنة) هو خاتمة السلف حيث توفي سنة 303هـ. وكل من توفي بعد ذلك لا يعتبر من السلف. هذا نهاية عهد السلف وليس السلفيين، فلا تنافي بين بقاء طائفة على منهج السلف، وبين انقضاء عهد السلف أنفسهم.


وقد ذكر الذهبي في مقدمة الميزان أن نهاية زمن المتقدمين هو رأس الثلاثمئة. وإذا نظرنا فإن الجيل الرابع وهو جيل الآخذين عن أتباع التابعين ومن كبارهم أحمد ومن صغارهم النسائي، فإنه ينتهي بنهاية القرن الثالث.

Yang benar adalah, era Salaf Al-Salih berakhir dengan sempadan tahun 300H. Dan Al-Nasa’i[3] (beliau ialah yang terakhir daripada Imam yang enam, yang menyusun kitab-kitab yang terkenal dalam sunnah) adalah penutup Salaf apabila beliau meninggal dunia pada tahun 303H. Dan semua yang meninggal dunia selepas itu tidak dianggap sebagai daripada Salaf. Ini adalah berakhirnya era Salaf dan bukannya Salafiyyin (pendokong manhaj Salaf). Maka tidaklah bercanggah antara kekalnya satu kumpulan di atas manhaj salaf, dengan berlalunya era Salaf sendiri.

Al-Zahabi telah menyebut dalam muqaddimah Al-Mizan[4] bahawa berakhirnya zaman mutaqaddimin adalah pada awal tahun 300H. Dan apabila kita perhatikan, generasi ke-4 (dan ia adalah generasi yang mengambil ilmu daripada atba’ Al-tabi‘in[5]. Antara senior mereka ialah Ahmad[6] dan antara junior mereka ialah Al-Nasa’i) berakhir dengan berakhirnya kurun ke-3H.
 

وفي حديث "خير القرون قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم..." لم يدر الصحابي –رضي الله عنه– أذكر قرنا أم قرنين. أي أن القرون المفضلة ثلاثة أو أربعة، فإن كانت أربعة فنهاية الرابع تكون بانقضاء المئة الثالثة.

والمقصود بالقرن هو الجيل من الناس بلا شك. دليل ذلك «ثم الذين يلونهم» فهو يتكلم عن البشر لا السنين. و الجيل من الناس لا يبلغ قرناً، بل هو ثلاثة أرباع القرن، فإنك تجد التابعين ينتهي عهدهم سنة 150 (في المتوسط) وأتباع التابعين في الربع الأول من القرن الثالث، أما من روى عن أتباع التابعين فينتهي عهدهم بنهاية القرن الثالث. إذا الأجيال الأربعة الأولى تنتهي بسنة 300. )ملاحظة: هذا في المتوسط وإلا فآخر الصحابة موتاً كان سنة 110 وهو الطفيل رضي الله عنه. وآخر التابعين موتاً: خلف بن خليفة سنة 180، وآخر من كان في أتباع التابعين ممن يقبل قوله من عاش إلى حدود 220).



Dan dalam hadith «Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti mereka…»[7] sahabat (yang meriwayatkan hadith ini) tidak tahu adakah Nabi menyebut satu kurun atau dua kurun, iaitu bahawa kurun yang terbaik itu tiga atau empat kurun. Dan jika ia adalah empat kurun, maka berakhirnya yang ke-4 adalah dengan berlalunya seratus tahun yang ketiga.

Dan maksud “kurun” (dalam hadith ini) tidak syak lagi adalah generasi manusia. Bukti hal tersebut adalah «kemudian orang-orang yang mengikuti mereka» iaitu Nabi bercakap tentang manusia, bukannya tahun. Sedangkan satu generasi manusia tidaklah mencapai satu kurun (seratus tahun), tetapi tiga perempat kurun, maka anda akan mendapati para tabi‘in[8], era mereka berakhir pada tahun 150H (secara purata) dan atba‘ Al-tabi‘in pada suku pertama kurun ke-3H.

Adapun golongan yang meriwayatkan (hadith) daripada atba’ Al-tabi’in, maka berakhir era mereka dengan berakhirnya kurun ke-3H. Justeru, keempat-empat generasi yang pertama berakhir pada tahun 300H. (INGATAN: Ini adalah secara purata, disebabkan sahabat yang terakhir meninggal dunia adalah pada tahun 110H, iaitu Al-Tufail. Dan tabi’in yang terakhir meninggal dunia ialah Khalaf bin Khalifah pada tahun 180H, dan yang terakhir daripada atba’ Al-tabi’in yang diterima kata-katanya ialah yang hidup sehingga sempadan tahun 220H).



 

وهذا الرأي وجيه وله حظ من القوة، ففي تلك القرون عاش الجهابذة الذين كان لهم قصب السبق في حفظ السنة والذب عنها وبيان صحيحها من معلولها، وكان لهم المؤلفات الضخمة في الحديث والرجال والعلل وغيرها. إلا أنه وجد بعد الثلاثمئة من الأئمة من سار على منهج المتقدمين وحذا على قواعدهم وطرائقهم، فهو ملحق بهم.



Dan pendapat ini adalah bernas, dan ia mempunyai penguat, kerana pada kurun itulah hidupnya tokoh-tokoh (iaitu Imam-Imam mutaqaddimin) yang mempunyai kegemilangan dalam menjaga sunnah dan mempertahankannya, serta menjelaskan yang sahih daripadanya daripada yang cacat (iaitu hadith yang dha‘if atau lemah). Mereka mempunyaï penulisan-penulisan yang mengagumkan dalam hadith, rijal, ‘Ilal dan sebagainya. Terdapat juga Imam-Imam selepas 300H yang bergerak di atas manhaj golongan mutaqaddimin dan mencontohi kaedah-kaedah dan langkah-langkah mereka, maka ia adalah kesinambungan mereka.



 

وإذا نظرنا نجد أنه أول ما بدئ الخلل في المنهج، بدئ من الطبري حيث مشى على منهج المتأخرين وأهمل الكثير من علل الحديث.

فأول شخص نجد عنده تبلور لمنهج المتأخرين هو ابن جرير الطبري (والبعض يعتبره من الفقهاء وليس من المحدثين) ثم يأتي بعده ابن خزيمة حسب ترتيب تاريخ الوفاة. وابن خزيمة –طبعاً– لم يأخذ منهجه من الطبري. لكن ابن حبان قد أخذ منهجه من شيخه ابن خزيمة على الأرجح، ومال أكثر إلى منهج المتأخرين من الناحية العملية في صحيحه، رغم أنه في مقدمة صحيحة قد ذكر عدة أمور نظرية مشابهة لمنهج المتقدمين.

ومثله تلميذه الحاكم، الذي تبع منهج المتقدمين في كتبه النظرية مثل "علوم الحديث" وغيره. لكن المستدرك كان تطبيقاً لقواعد المتأخرين وليس المتقدمين خاصة في أمور زيادة الثقة وما شابه ذلك.



Dan apabila kita melihat, kita dapati bahawa permulaan kekurangan (iaitu perbezaan) pada manhaj, ia bermula daripada Al-Tabari[9] yang mana beliau berjalan di atas manhaj muta’akhkhirin, dan beliau mengabaikan banyak daripada kecacatan hadith. Dan individu terawal yang kita dapati mempunyai bibit-bibit manhaj muta’akhkhirin ialah Ibn Jarir Al-Tabari (sebahagian menganggapnya daripada golongan ahli fiqh (fuqaha’) dan bukan ahli hadith (muhaddithin). Kemudian, datang selepasnya Ibn Khuzaimah[10] (menurut urutan tarikh wafat). Dan Ibn Khuzaimah, sudah tentu, tidak mengambil manhajnya daripada Al-Tabari. Tetapi Ibn Hibban[11] telah mengambil manhajnya daripada gurunya iaitu Ibn Khuzaimah (menurut pendapat yang paling tepat), dan beliau cenderung lebih banyak kepada manhaj muta’akhkhirin daripada segi praktikal dalam kitab Sahihnya, walaupun beliau (di dalam muqaddimah Sahihnya) telah menyebut beberapa perkara teori yang serupa dengan manhaj mutaqaddimin.

Begitu juga dengan muridnya Al-Hakim[12] yang mengikut manhaj mutaqaddimin dalam kitabnya daripada segi teori, seperti ‘Ulum Al-Hadith dan lain-lain. Tetapi, kitab Al-Mustadrak adalah mengikut kaedah-kaedah muta’akhkhirin dan bukan mutaqaddimin, terutamanya dalam hal-hal ziyadah Al-thiqah (tambahan oleh orang yang dipercayai) dan yang seumpamanya.



 

ولا يعني هذا أبداً وجود حفاظ تابعوا السير على نهج المتقدمين فاعتبروا منهم، كأبي بكر الإسماعيلي والعقيلي والدارقطني وغيرهم، ممن وصلتهم الطرق التي وصلت للمتقدمين، ولو أنها كانت مكتوبة مدوّنة. فهؤلاء مشوا على نفس منهج المتقدمين تماماً. وانتهاء عصر

المتقدمين لا يعني انتهاء الذين يمشون على هذا المنهج، كما أن انتهاء عصر السلف لا يعني انتهاء السلفيين.



Dan ia tidaklah bermaksud bahawa tiada langsung wujudnya para huffaz yang mengikut jalannya di atas manhaj mutaqaddimin dan mencontohi mereka, seperti Abu Bakr Al-Isma‘ili[13], ‘Uqaili[14], Al-Daraqutni[15] dan lain-lain yang sampai kepada mereka jalan-jalan yang telah sampai kepada para mutaqaddimin, walaupun ia telah tertulis serta direkodkan. Mereka telah berjalan di atas manhaj mutaqaddimin yang sama dengan sempurna. Dan berakhirnya era mutaqaddimin tidak bermakna berakhirnya orang-orang yang berjalan di atas manhaj ini (iaitu manhaj mutaqaddimin), sebagaimana berakhirnya era Salaf tidak bermakna berakhirnya para Salafiyyin.

Selesai[16].


____________________________________________________________



[1] Artikel asal dalam bahasa ‘Arab (tanpa terjemahan dan tambahan nota kaki) boleh dibaca di pautan berikut: http://www.ibnamin.com/distinct_date.htm

[2] Metodologi penterjemah ialah menterjemah artikel asal oleh Syaikh Muhammad Al-Amin, dengan beberapa catatan tambahan di bahagian nota kaki.

[3] Beliau ialah Abu ‘Abdul Rahman Ahmad bin Syu‘aib bin ‘Ali Al-Khurasani Al-Nasa’i atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Nasa’i. Lahir pada 215H dan wafat pada 303H. Kitab beliau yang terkenal ialah Al-Sunan Al-Sughra/ Al-Mujtaba dan Al-Sunan Al-Kubra. Kitab Al-Sunan Al-Sughra/ Al-Mujtaba juga disebutkan oleh para ‘ulama’ seperti Abu ‘Ali Al-Naisaburi, Ibn ‘Adi, Al-Daraqutni dan Al-Khatib Al-Baghdadi sebagai kitab “Al-Sahih”. Ini kerana diketahui bahawa semua hadith dalam kitab Al-Sunan Al-Sughra/ Al-Mujtaba ini adalah sahih kesemuanya di sisi Al-Nasa’i kecuali apabila beliau menyebutkan kecacatannya.

[4] Al-Mizan, atau Mizan Al-‘Itidal Fi Naqdi Al-Rijal ialah kitab karangan Al-Zahabi dalam bidang Al-Jarh wa Al-Ta‘dil.

[5] Atba‘ Al-Tabi‘in ialah golongan yang sempat berjumpa dengan tabi‘in.

[6] Beliau ialah Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal atau lebih dikenali sebagai Imam Ahmad bin Hanbal. Lahir pada 164H dan wafat pada 241H. Kitab beliau yang terkenal ialah Al-Musnad.

[7] Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim dengan beberapa lafaz yang sedikit berbeza, rujuk arkib laman web www.al-fikrah.net di pautan: http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=12519.html bertajuk “takhrij hadith sebaik-baik kurun”.

[8] Tabi‘in ialah golongan yang sempat berjumpa dengan sahabat.

[9] Beliau ialah Abu Ja‘far Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Ghalib Al-Tabari. Dikenali dengan nama “Ibn Jarir Al-Tabari”. Lahir pada 224H dan wafat pada 310H. Kitab beliau yang terkenal ialah Tafsir Al-Tabari.

[10] Beliau ialah Abu Bakr Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah Al-Naisaburi. Lahir pada 223H dan wafat pada 311H. Kitab beliau yang terkenal ialah Sahih Ibn Khuzaimah atau nama sebenarnya Mukhtasar Al-Mukhtasar Min Musnad Al-Sahih ‘An Al-Nabi. Sesetengah pihak menganggap bahawa semua hadith dalam kitab Sahih Ibn Khuzaimah adalah sahih kesemuanya di sisi Ibn Khuzaimah, tetapi ini adalah tidak tepat kerana jika dikaji maka didapati terdapat sebilangan hadith-hadith yang didha‘ifkan oleh Ibn Khuzaimah sendiri dalam kitab Sahihnya. Contohnya ialah hadith yang popular dalam bulan Ramadhan iaitu «…awalnya adalah Rahmat, pertengahannya adalah Maghfirah (pengampunan), dan akhirnya adalah pembebasan daripada api Neraka…». Hadith ini diriwayatkan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya dan beliau sendiri mendha‘ifkan hadith ini dengan katanya “In sahha al-khabar (jika khabar ini sahih)”.

[11] Beliau ialah Muhammad bin Hibban bin Ahmad bin Hibban bin Mu‘az bin Ma‘bad Al-Tamimi Abu Hatim Al-Darimi Al-Busti. Lahir pada 270H dan wafat pada 354H. Kitab beliau yang terkenal ialah Sahih Ibn Hibban.

[12] Beliau ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘Abdullah bin Muhammad Al-Dhabbi Al-Naisaburi. Dikenali dengan nama “Al-Hakim”. Lahir pada 321H dan wafat pada 405H. Kitab beliau yang terkenal ialah Al-Mustadrak ‘Ala Al-Sahihayn. Al-Hakim adalah seorang yang terkenal dengan sikap tasahul (bermudah-mudah) dalam menilai hadith, terutamanya dalam bab Ziyadah Thiqah, Syawahid dan Mutaba‘at, dan seumpamanya. Dalam praktikal, beliau didapati menyalahi beberapa teori yang beliau sendiri sebutkan dalam kitab-kitab mustalah hadith beliau. Kitab Al-Mustadrak beliau mendapat banyak kritikan daripada ramai Ahli Ilmu.

[13] Beliau ialah Abu Bakr Ahmad bin Ibrahim Al-Isma‘ili. Wafat pada 371H. Antara karya beliau yang terkenal ialah I‘tiqad Ahl Al-Sunnah. Rujuk: http://www.jameataleman.org/select/bokus/abobakr.htm

[14] Beliau ialah Abu Ja‘far Muhammad bin ‘Amru bin Musa bin Hammad Al-‘Uqaili. Wafat pada 322H. Kitab beliau yang terkenal ialah Al-Dhu‘afa’ Al-Kabir.

[15] Beliau ialah Abu Al-Hasan ‘Ali bin ‘Umar bin Ahmad bin Mahdi bin Mas‘ud bin Nu‘man bin Dinar Al-Baghdadi. Lahir pada 306H dan wafat pada 385H. Kitab beliau yang terkenal ialah Sunan Al-Daraqutni. Sesetengah Ahli Ilmu beranggapan bahawa Sunan Al-Daraqutni ini sama saja seperti kitab-kitab Sunan yang lain. Namun, yang jelas ialah kitab Sunan Al-Daraqutni lebih mirip kepada kitab Al-‘Ilal, di mana manhaj beliau dalam kitab ini ialah menyebutkan tentang ghara’ib al-sunan.

[16] Artikel ini selesai diterjemah dengan izin Allah pada 22 Rabi‘ul Awwal 1431H/ 7 April 2010, di Camp Caesar, Iskandariah, Mesir.

 

alt
You are here: Artikel View Hadith Sempadan Pemisah Antara Mutaqaddimin dan Muta’akhkhirin