AFN V2

Al-Fikrah .net 2012: Realisasi dan Rasionalisasi

User Rating: / 6
PoorBest 

 Saya Mohd Nawawi Abd. Razak @ Mustaqill memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Dia memberi saya kekuatan selepas Dia memberi saya taklif untuk mengemudi perjalanan Al-Fikrah.net. Saya panjatkan juga doa agar Dia menjadikan taklif ini sebagai peluang saya mendekatkan diri kepadaNya dan berbakti di jalanNya setiap masa dan ketika. Dan saya ucapkan Alhamdulillah kerana saudara sekalian sudi menerima saya sebagai ketua, dalam keadaan saya yang tidak seberapa ini. Panggillah jawatan ini sebagai apa pun, Insyaallah saya akan cuba sebaik habis untuk menunaikan amanah yang datang bersamanya.

Status Quo

Kini Al-Fikrah.net berjaya menempatkan dirinya sebagai forum berorientasikan Islam yang berjaya dalam konteks Malaysia. Apatah lagi dengan keistimewaan dan keunikan manhaj yang menjadi pilihannya; manhaj salaf, kini Al-Fikrah.net boleh dikatakan sebagai forum salafi yang paling terkedepan, paling aktif dan paling popular. Dengan jumlah ahli, pelawat dan hits yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, forum kita ini terus maju dan dikenali, berkat keikhlasan ahli-ahlinya untuk mencari ilmu, salah satu wasilah taqarrub kepada Allah. Pendekatan Al-Fikrah.net yang terbuka tapi berwaspada, sentiasa mengalu-alukan perkongsian yang berteraskan ilmu dan fakta, yang datang dengan hanya satu syarat yang tidak mampu dikompromi; kesahihan dan ketulenan faktanya. Inilah yang tidak ada pada forum lain, inilah tradisi ilmu para salaf yang kita jiwai hingga ke hari ini, yang senantiasa berpegang kepada segala sesuatu yang sahih dan terbukti tulen. Mungkin itulah asas jenama Al-Fikrah.net. Kebolehpercayaan dan kredibiliti.

Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian terkini, kerana ia masih tidak seberapa jika kita benar-benar inginkan sesuatu yang besar lahir dari forum maya ini. Beberapa kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang kita kesan sepanjang 3 tahun ini akan dikaji dengan teliti, dan akan dipastikan agar tidak berulang kembali lagi di masa akan datang, biiznillah.

Kullu Yaum Mustaqbal.

Setiap hari itu adalah masa depan. Manakala esok masih menjadi rahsia Allah. Dengan itu kita perlu perancangan rapi setiap hari yang mendatang untuk memastikan keesokannya berjalan lancar. Al-Fikrah.net masih baru dalam perancangan jangka panjang, namun Alhamdulillah beberapa persetujuan telah dicapai oleh kami sesama staf mengenai rupa bentuk dan wajah Al-Fikrah.net di masa depan. Saya secara peribadi mengharapkan agar Allah member umur yang panjang kepada forum ini, yang dengannya saya menambah ilmu, menambah saudara dan rakan, menambah guru dan cikgu serta berkongsi sedikit-sebanyak apa yang saya ada sama ada ilmu mahupun pengalaman, agar perkongsian yang penuh ilmiah dan berkah ini dapat diteruskan dan dinikmati oleh anak-cucu kita pula di masa depan. Tanpa perancangan, pastilah hilang objektiviti, fokus dan signifikannya sesuatu organisasi itu. Akhirnya segala apa yang kita kongsikan selama ini hanya akan menjadi sekadar coretan kata yang dilupakan, mengusang dan mereput tanpa dipedulikan dan dihargai sesiapa. Semoga Allah menghindarkan kita dari kerugian sebegitu rupa.

Realisasi

Apa yang saya maksudkan dengan Realisasi ialah perlunya Al-Fikrah.net menjelmakan dirinya ke ruang lingkup alam nyata. Kini kita tidak boleh merasa cukup dengan perbincangan dan diskusi alam maya yang tiada kesudahannya, sebaliknya memanfaatkan ilmu yang kita dapatkan melalui perbincangan dan diskusi itu dalam kehidupan alam nyata. Persahabatan dan perhubungan yang kita jalin penuh mesra di dalam forum mesti dihidupkan dalam kehidupan sebenar. Akidah dan syariah yang kita agungkan dalam forum perlu kita hakikikan dalam pergaulan sehari-hari. Adab dan hikmah yang kita laung-laungkan dalam setiap diskusi jangan kita songsangkan dalam muamalah sesama insan. Justeru, saya harapkan kalian memberi sokongan kepada program-program tajaan dan anjuran Al-Fikrah.net. Saya sangat bahagia apabila dapat berjumpa dengan rakan-rakan semanhaj dari Al-Fikrah.net, hingga bagi saya segala program dan aktiviti itu hanyalah alat semata-mata, maksud sebenarnya ialah persaudaraan dan persahabatan yang berpanjangan Hubungan seperti ini jika dapat kita bawa ke hari tua, pastilah memberi manfaat yang amat sangat sama ada dari segi material mahupun moral. Satu hari akan lahir tokoh-tokoh besar dari kalangan ahli Al-Fikrah.net, dan semestinya dokongan dari tokoh-tokoh ini akan menjadi bonus buat gerakan dakwah sunnah di masa hadapan.

Al-Fikrah.net tidak boleh melepaskan sebarang peluang kerjasama untuk berdakwah, dan sebolehnya harus membina rangkaian hubungan seluas mungkin, kerana kita di sini adalah komuniti online yang multi-bakat. Ini boleh kita manfaat semaksimanya dengan hubungan dan kenalan yang betul baik dalam komuniti peminat agama atau selainnya. Kita tidak boleh membayangkan Al-Fikrah.net sebagai sebuah kedai kopi untuk kita datang bertandang dan bersembang hingga ke petang. Kita dalam usaha meletakkan forum ini setanding dengan Multaqa Ahlil Hadith, IslamQA, Islamweb tetapi dengan pendekatan lebih rileks dan beracuankan citarasa Malaysia. Jika tidak terdaya, maka kita harapkan generasi selepas ini untuk menyempurnakan harapan dan cita-cita itu.

Rasionalisasi

Apa yang mahu kita rasionalkan ialah metod operasi Al-Fikrah.net. Insyaallah, apabila Al-Fikrah.net 2.0 dilancarkan, saudara sekalian akan dapat melihat perubahan dan penambahbaikan yang ketara dan bermanfaat. Al-Fikrah.net akan membuka ruang kepada ilmuan-ilmuan agama dan bukan agama untuk berkongsi ilmu secara tersusun dan professional, selagi mana pegangan kita manhaj salaf dihormati dan diakui selayaknya. Al-Fikrah.net tidak lagi akan berorientasikan personaliti atau individu tertentu, tetapi semangat ilmu dan cintakan pengetahuan semata-mata. Pengurusan Al-Fikrah.net akan mempunyai manual dan panduan yang disepakati, dan sebarang bentuk krisis dan konflik akan ditangani dengan penuh hikmah dan himmah. Kita juga inginkan Al-Fikrah.net melahirkan tokoh-tokoh ilmuan yang berkaliber, serta produk-produk berkualiti bagi manfaat ahli-ahlinya. Kita tidak mahu hadkan Al-Fikrah.net untuk salafi atau mana-mana kelompok manusia, sebaliknya kita buka seluas-luasnya ruang untuk sebarang perkongsian akademik yang ikhlas didedikasikan untuk perkembangan pemikiran yang sihat. Bilangan panel akan ditambah, dengan kemasukan dan lantikan panel di kalangan protaz dan akademia dijangkakan meningkat dengan ketara. Juga, kita tidak melupakan bakat-bakat baru dikalangan pelajar-pelajar universiti yang boleh kita gilap apabila mereka dilantik menjadi panel di Al-Fikrah.net. Dengan ini kita harapkan forum seumpama Al-Fikrah.net dapat menampung permintaan dari ahli-ahlinya yang dahagakan ilmu dengan menyediakan satu barisan intelek yang mempunyai kredibiliti dan kualiti sesuai dengan manhaj salaf yang menjadi pegangan selama ini.

Penutup

Dengan risalah yang dengan sengaja saya panjangkan huraiannya ini, saya ingin memberi satu isyarat yang jelas; potensi besar Al-Fikrah.net takkan sesekali disia-siakan. Semua perancangan yang digarap adalah bermaksud untuk memberi manfaat kepada ummah. Banyak yang boleh dipelajari hatta daripada krisis yang paling mengguris hati. Al-Fikrah.net akan maju ke depan dan takkan menoleh ke belakang, kanan ataupun kiri. Perubahan pasti akan mengambil tempatnya, demi mengekalkan forum yang berkah ini sebagai lubuk ilmu yang relevan, terkini dan berkualiti. Paling kurang dalam jangka masa setahun yang diberikan kepada saya.

AFN Boleh.

Mustaqill

Khadem Al-Fikrah.net (Disember 2011 – Disember 2012)

 

You are here: Artikel View AFN Al-Fikrah .net 2012: Realisasi dan Rasionalisasi