AFN V2

Berita & Artikel

Ibn ‘Asakir (w571H / 1176M)

User Rating: / 11
PoorBest 

Penulis: Mohd Fikri Che Hussain ( Ustaz Alamghiri )
Sumber: http://mohdfikri.com/blog

`Ali b. al-Hasan b. Hibat Allah b. `Abd Allah, Thiqat al-Din, Abu al-Qasim lebih dikenali dengan nama Ibn `Asakir al-Dimasyqi al-Syafi`i al-Asy`ari (w571/ 1176h) adalah seorang imam hadis dan tokoh sejarawan Islam yang terkenal di zamannya.

Mendengar hadis daripada 1,300 orang ulama dan 80 orang daripadanya adalah wanita dari kota Baghdad, Makkah, Madinah, Asfahan, Naisabur, Merw, Tibriz, Mihana, Baihaq, Khusrujird, Bistam, Herat, Azerbaijan, Kufah, Hamadhan, Rayy, Zanjan, Bushanj, Sarkhas, Simnan, Jarbadhqan, Mausil dan sebagainya.

Karyanya yang masyhur dan jarang dapat ditandingi oleh ulama sezaman dengannya pula seperti kitab:

i. Kitab Tarikh Dimasyq sebanyak 80 jilid
ii. Kitab Al-Muwafaqat `ala Shuyukh al-A’immah al-Tsiqat sebanyak 72 jilid
iii. Kitab `Awali Malik ibn Anas sebanyak 50 jilid
iv. Kitab Ghara’ib Malik setebal 10 jilid
v. Kitab Al-Mu`jam yang menyenaraikan nama-nama guru yang pernah mengajar beliau, sebanyak 12 jilid
vi. Kitab Manaqib al-Syubban sebanyak 15 jilid
vii. Kitab yang menerangkan kelebihan para sahabat Nabi SAW iaitu kitab Fadha’il Ashab al-Hadits 11 jilid

Antara kitabnya yang lain seperti
i. Kitab Fadhl al-Jumu`ah
ii. Kitab Fadhl Quraisy
iii. Kitab Fadha’il al-Siddiq
iv. Kitab Fadha’il Makkah
v. Kitab Fadha’il al-Madinah
vi. Kitab Fadha’il Bayt al-Muqaddas
vii. Kitab Fadha’il `Asyura’
viii. Kitab Fadha’il al-Muharram
ix. Kitab Fadha’il Syaaban

Kitabnya yang sejilid seperti:
i. Kitab Al-Isyraf `ala Ma`rifah al-Athraf
ii. Kitab Akhbar al-Awza`ie
iii. Kitab Al-Musalsalat
iv. Kitabnya yang bertajuk Al-Suba`iyyat mengandungi sebanyak 7 jilid
v. Kitabnya yang berjudul Tabyin Kazib al-Muftari Fima Nusiba ila Abi al-Hasan al-Asy`ari adalah kitab yang mempertahankan mazhab ilmu kalam imam Abu Hasan al-Asy`ari.

Tengoklah rakan-rakan, betapa seorang ilmuan Islam menghabiskan waktunya dalam mengusahakan kitab yang berjilid-jilid. Mana kesungguhan kita? Kita asyik menuding jari ke arah orang lain dari kesalahan kita. Malahan ada yang sanggup mencemuh ulama kerana kesilapan yang sedikit, sedangkan jasa dan sumbangan mereka yang melaut luas tidak kita hiraukan. Oleh itu, tutup mata dan tanya diri kita. Siapakah kita berbanding mereka yang penuh berjasa dan memberi sumbangan bakti kepada generasi Islam sehingga ke hari ini…..

Semoga kita turut jua bersama mereka, di atas kecintaan kita kepada para ulama ini. Amin ya Rabb!

Hadis Palsu Rejab, Sya’aban

User Rating: / 14
PoorBest 

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.” Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis:

رجب شهر الله، وشعبان شهري، ورمضان شهر أمتي

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:

يَطَّلِعُ اللهُ إلَى خَلْقِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمْيْعِ خَلْقِهِ إلاَّ لِمُشْرِكٍ أوْ مُشَاحِنٍ

“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, Hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Tiada ibadat khusus sempena Rejab

User Rating: / 6
PoorBest 

Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pendapat mengenai amalan solat sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah

REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.

Kalendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud jangan seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah. Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil sah menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.

Hal ini diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah."

Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.

Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.

Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi.

Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.

Ibn Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."

Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan.

Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.

Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah.

Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

bharian

Personaliti: Sebar syiar Islam menerusi karya

User Rating: / 1
PoorBest 

Sumber: http://akob73.blogspot.com

Ini adalah wawancara akob bersama Berita Harian (BH) pada 28hb Februari 2008. Wartawan BH yang mewawancara akob itu bukan seseorang yang asing bagi akob. Beliau merupakan senior akob semasa di UIAM dahulu. Hasliza semasa di UIAM dulu merupakan seorang pelajar yang pintar, periang dan aktif dalam aktiviti Forum Pelajar Komunikasi UIAM (COSFOR) bersama-sama akob.

Selepas graduate dari UIAM, most of us fokus kepada kerjaya & keluarga masing-masing. So Lama tak contact each other. Last year, pada bulan Ramadan, secara tidak disangka-sangka akob menerima panggilan daripada wartawan BH. Menurut beliau dia terbaca buku akob tentang Ramadan dan Hari Raya. No HP akob pula dia dapat dari Ustaz Abu Ruwais editor di Karangkraf. Kemudian wartawan BH itu memperkenalkan dirinya sebagai Hasliza Hassan. Lalu dia kata: "Kau tak ingat aku lagi ker kob, ni Hasliza lah". Akob blur sekejap. Nama macam familiar and suara macam biasa disengar. Akob kata : "Ler ni Hasliza UIAM ke?". Memang seronok bila dapat jumpa kawan-kawan lama semula. Selepas itu Kak Liza banyak membantu memasukan artikel akob di BH and memberi tunjuk ajar dalam menulis. TQ Kak Liza. Jasa mu dikenang. COSFORIANS Forever. Di bawah ini wawancara akob bersama Kak Liza.

Sekian Wassalaam

Personaliti: Sebar syiar Islam menerusi karya
Oleh: Hasliza Hassan


Dorongan kawan mengubah sikap Mohd Yaakub, semangat hasilkan buku agama


SESEORANG yang ada kekurangan diri akan melakukan sesuatu untuk memperbaiki diri, berbeza dengan mereka yang berasakan ilmu di dada sudah banyak selalunya berasa selesa dan beranggapan tidak perlu lagi berusaha mempertingkatkan diri.

Berasakan dirinya tergolong di kalangan yang masih mempunyai kekurangan, graduan Jabatan Komunikasi (pengkhususan bidang Komunikasi Organisasi)Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Yaakub Mohd Yunus mula mengorak langkah mendalami ilmu agama bagi memantapkan pengetahuan ke arah menjadi insan lebih baik.

Bermula daripada pembacaan buku agama dalam pelbagai bidang berkaitan kehidupan, akhirnya timbul minat di hati anak muda berusia 35 tahun itu untuk berkongsi ilmu diperoleh bersama keluarga dan kawan.

Maka terhasillah penulisan rencana pendek yang kebanyakannya disiarkan dalam laman forum dan atas dorongan rakan serta pelayar internet, beliau berjinak menceburi bidang penulisan dengan niat murni supaya perkara yang baik dapat dimanfaatkan lebih ramai umat Islam.
"Selain usia yang mematangkan, keputusan menjadi insan lebih baik mula menerpa hati apabila saya ingin mendirikan rumah tangga pada 2000. Saya sedar menjadi suami, bapa dan ketua keluarga bermakna saya bakal memikul tanggungjawab besar.

"Maka, hati saya berkata, untuk memikul amanah serta tanggungjawab yang datang bersama status itu, saya perlu menjadi insan lebih baik. Bertitik tolak dari situ saya mengambil inisiatif mendalami ilmu agama," katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad berkata, seperti remaja lain beliau pernah melalui saat di mana hidupnya dipengaruhi kehendak untuk berhibur dan melakukan perkara bertentangan dengan syariat.
Perkara itu berterusan ketika melanjutkan pengajian di UIAM. Walaupun kenakalan beliau tidak pada tahap ekstrim, tetapi penampilan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta suka ketawa menjadikan beliau dilihat sebagai seorang yang tidak serius.

Akibatnya, ramai rakan yang mengenali anak kelahiran Bentong, Pahang itu terkejut apabila berjumpa dengannya dan tidak percaya dengan perubahan 360 darjah dilakukan sehingga ada menyangka beliau terbabit dengan kumpulan tabligh.

Mohd Yaakub berkata, bukan saja orang di sekeliling, malah jika ditanya kepada dirinya, beliau sendiri tidak menyangka akan diberi hidayah serta dorongan Allah untuk berubah dan memperbaiki kekurangan diri.

Justeru, katanya, apabila diberi peluang berubah ke arah lebih baik beliau berasakan seolah menjadi satu amanah untuknya berdakwah dan bidang paling dekat dengannya ketika itu ialah bidang penulisan yang dari sehari ke sehari menjadi tabiat positif dalam diri.

"Di sini saya jelaskan pengaruh kawan memang ada kuasa untuk merubah perwatakan seseorang. Apabila saya mula berkongsi pandangan di ruang siber, saya berkenalan dengan ramai orang yang ikhlas memberi pandangan serta kritikan.

"Mereka juga memberi dorongan kepada saya untuk berubah menjadi lebih baik dan menyumbang pula kepada masyarakat. Uniknya, kebanyakan mereka bukan dalam bidang agama, tetapi mampu menghasilkan karya hebat yang menandingi mereka dalam aliran agama," katanya.

Katanya, perasaan menyesal terutama apabila mengingat kembali perkara pernah dilakukan yang bertentangan dengan hukum syarak menguatkan lagi semangat beliau untuk terbabit dalam gerakan dakwah melalui penghasilan buku agama.

Bak kata pepatah, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan', dan dengan keazaman kuat banyak perkara positif dapat dilakukan seperti menghasilkan buku agama begitu juga perkara negatif yang dibuang secara perlahan-lahan.

Menyentuh bidang penulisan, Mohd Yaakub berkata, beliau tidak mengikuti kursus atau bengkel penulisan secara khusus, tetapi berbekalkan minat serta serba sedikit ilmu dituntut di UIAM, diam tak diam, sudah tujuh buku berjaya diterbitkan.

Beliau berkata, tidak disangka buku yang dihasilkan sebagai memenuhi kemahuan hati untuk menyumbang kepada masyarakat rupa-rupanya menjadi jambatan yang menghubungkan serta mendekatkan beliau dengan lebih ramai kawan.

Disebabkan itu, katanya, beliau tidak kisah jika ada yang mempertikaikan hasil karyanya kerana pegangan penulisannya berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yakni berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah serta golongan salafussalih terdiri daripada sahabat, tabiin dan tabiut-tabiin.

"Jalan atau manhaj salafussalih adalah jalan selamat untuk diikuti umat Islam. Dalam menyampaikan ilmu, saya suka menggunakan istilah amar makruf nahi mungkar kerana menjadi tanggungjawab semua umat Islam mendidik kepada kebaikan.

"Saya buat sekadar yang termampu berpandu kepada sabda Rasulullah SAW supaya sampaikan walaupun hanya satu ayat," katanya yang turut menghadiri kelas agama dipimpin ulama serta ilmuwan untuk memantapkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sewajarnya kelahiran lebih ramai golongan profesional dalam bidang agama untuk saling bantu membantu mengajak masyarakat ke arah kebaikan dan menentang perkara mungkar diterima secara positif.

Beliau berkata, adanya kumpulan yang digelar 'profesional ustaz' bukan untuk mengambil alih tempat tuan guru atau ustaz, tetapi sekadar membantu menyampaikan ilmu agama melalui pendekatan kreatif, efektif dan bertepatan dengan teknologi terkini.

Malah, kumpulan pendakwah daripada ahli profesional dalam pelbagai bidang itu masih bergantung kepada alim ulama sebagai rujukan untuk mempelajari ilmu agama, selain kajian dilakukan dan maklumat daripada pembacaan.

Mohd Yaakub berkata, kelebihan ustaz daripada kalangan profesional ini ialah mereka tahu ada ruang kosong yang tidak digapai golongan agama dan cuba memenuhi ruang kosong itu bagi membantu masyarakat mendapatkan maklumat diperlukan.

Katanya, dalam keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, cara untuk mempelajari ilmu agama tidak hanya bertumpu di masjid, surau atau kuliah yang dianjurkan pihak tertentu. Sebaliknya, orang ramai menuntut ilmu di mana-mana saja dan pada masa mereka suka.

Kewujudan laman web contohnya, memberi ruang lebih luas kepada pelayar internet untuk menimba ilmu agama dan pada masa sama, membolehkan mereka bertukar pandangan atau berbahas bagi lebih memahami serta menghayati ajaran Islam.

"Terus terang saya katakan, masyarakat hari ini bukan seperti zaman dulu, mereka mementingkan soal kesahihan dan ketulenan fakta. Mereka tidak boleh dimomokkan dengan sebarang cerita atau kisah saja.

"Ia bermakna cabaran untuk pendakwah lebih besar, bukan sekadar memberitahu apa yang boleh dan tidak, tetapi menerangkan dengan terperinci hikmah di sebalik larangan atau suruhan itu berpandukan kepada al-Quran dan sunnah yang menjadi landasan utama," katanya.

You are here: Artikel View