AFN V2

Berita & Artikel

KAHWINLAH TERANG-TERANGAN

User Rating: / 6
PoorBest 

Oleh Yussamir Yusof
www.yussamir.com


“Aku nak kahwin sembunyi-sembunyi.” Fathul suarakan hasratnya kepada saya. Mukanya tidak ada tanda rasa bersalah, malah berseri-seri pula.

Saya pula yang agak terkejut dengan tindakan ‘berani mati’ beliau. Saya katakana berani mati, kerana tindakan beliau yang membelakangi keluarga adalah suatu tindakan biadap dan tidak menepati sunnah. Sedangkan beliau yang saya kenali adalah seorang pemuda yang sangat menghormati keluarga dan kuat mengikuti sunnah.


“Kenapa nak sembunyi-sembunyi?” Soal saya menginginkan jawapan.

“Sebab kedua orang tua sebelah perempuan tak mengizinkan aku mengahwini anaknya.” Jawapan beliau selamba.

“Mak bapa dia tak izinkan mesti ada sebab.” Saya cuba menduga.

“Memang pun, sebabnya ialah aku tak berkerja lagi. Mak bapa dia suruh aku berkerja dulu baru aku boleh masuk meminang.”

“Ha, betullah itu. Alasan mak bapa dia memang rasional. Kalau kau berkahwin dengan anak perempuannya, apa yang kau boleh beri? Kau pun tak berkerja lagi.” Ujar saya membenarkan alasan mak bapa sebelah perempuan.

“Adakah kerana wang menjadi alasan sesebuah perkahwinan itu harus dihalang? Adakah ini ada dinyatakan dalam syariat bahawa wang menjadi syarat sahnya perkahwinan? Bukankah ini yang dinamakan seabgai adhuul, iaitu melarang anak menikah tanpa alasan syari’e.” Fathul membalas hujah saya bertubi-tubi.

“Pertama, aku merasakan alasan kedua orang tua bakal isteri kau masih lagi selari dengan syariat…”

“Mana ada selari dengan syariat. Sedangkan semasa zaman Rasulullah pun sudah ada sahabat baginda yang bernikah hanya membacakan al-Quran sebagai mahar perkahwinannya. Sedangkan ketika tu sahabat ini tidak ada se-sen pun.” Fathul memotong cakap saya.

“Cuba dengar dulu perjalasan aku,” Saya memujuk beliau.

“Alasan kedua orang tua bakal isteri kau tak melanggar syariat. Dalam masa yang sama aku tak cakap bahawa seorang lelaki yang tidak ada perkerjaan tetap tak boleh berkahwin. Tetapi dalam hal ini, aku nak tanyakan kepada kau, bersalahkah ibubapa melarang anaknya bernikah dengan orang yang tidak ada pekerjaan tetap lagi? Larangan ini hanyalah disebabkan kekhuatiran mereka yang anak mereka tidak terbela dan terjaga bila berkahwin nanti.

Dari mana kau nak dapatkan duit untuk membelikan pakaian, makanan dan tempat tinggal untuk isteri kau bila berkahwin nanti? Kau ingat kisah Muawiyah bn Haidah al-Qusyairi bertanyakan hak isteri kepada rasulullah?” Soal saya kepada Fathul.

“Tak.” Fathul jawab pendek.

“Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Abu Daud bahawa Muawiyyah bin Haidah pernah bertanya pada Rasulullah. Kata beliau, “Wahai Rasulullah, sebenarnya apakah hak seorang isteri atas diri suaminya?” Kemudian Rasulullah menjawab, “Seorang isteri harus mendapatkan makanan sebagaimana yang si suami makan, mendapatkan pakaian sepertimana yang suami pakai. Jangan sesekali memukul wajahnya, jangan menghinanya, serta jangan memisahkan dirinya dengan kalian (para suami) kecuali hanya di dalam rumah sahaja.”

“Nah, semua alasan kedua orang tua bakal isteri kau selari dengan nas yang aku bacakan tadi.” Saya tegaskan lagi, sambil melihat wajahnya.

Wajahnya sunggul, tetapi saya tidak tahu adakah nasihat ini hanya sekadar masuk telinga kiri, keluar telinga kiri semula.

Fathul tak menjawab sedikit pun. Dia terus terduduk, kemudian bersandar ke dinding bilik. Saya merapatkan diri dengannya, kemudian menepuk-nepuk bahunya.

“Aku bukan tidak menyokong tindakan kau untuk mengikuti sunnah. Tetapi jalan kau untuk mengikuti sunnah tidak betul. Sedangkan taat kepada ibubapa selagi mana ia tidak menyalahi syariat adalah sebuah sunnah besar yang wajib kau ikuti.” Fathul menganggukkan kepala. Saya mengharapkan dia memahami apa yang saya katakan.


Saya sendiri berniat untuk berkahwin awal (tidaklah terlalu awal, awal bagi saya ialah 25 tahun dan ke atas), tanpa meminggirkan kedua ibubapa dipermudahkan. Mungkin kisah ini adalah kisah terpencil dari beribu kisah yang membuahkan rasa bahagian dan restu dari kedua belah pihak. Tetapi kisah-kisah terpencil inilah yang selalu digembar-gemburkan, dan sekaligus menjadikan agama sebagai alat dan alasan untuk kepentingan diri sendiri.

Betapa banyak para pemuda terutama mahasiswa yang semangatnya menyala-nyala ingin menegakkan sunnah. Akhirnya memilih jalan nikah segera dan sembunyi-sembunyi. Kahwin muda boleh, tetapi jika ia dilaksanakan dengan restu dan pertolongan ibubapa.

Ramai sahaja kawan-kawan saya yang berkahwin muda, mendapat restu dan pertolongan dari segi kewangan dari ibubapa masing-masing. Tetapi berapa ramai ibubapa yang memahami dan dapat membantu dari segi kewangan seperti itu?

Saya meminta izin untuk pulang. Kemudian saya terhenti seketika di pintu melihat Fathul yang sudah sedikit tenang dan menerima kenyataan. Namun, raut-raut wajahnya masih menunjukkan bahawa beliau runsing dan ragu-ragu untuk membuat keputusan.


“Fathul!” Saya memanggil namanya. Dia mendongak melihat saya di pintu.

“Imam Syafi’i ada berkata, “Sesungguhnya seorang remaja itu dinilai dengan ilmu dan ketaqwaannya,”. Kalau hal ini semakin mengusutkan kepala, habiskan belajar dulu kemudian kerja dan terus masuk meminang. Aku akan jadi orang pertama menyokong kau."

Saya mengakhiri perbualan saya dengan beliau.

Fatwa-Bolehkah Wanita Haidh Membaca Al-Qur'an?

User Rating: / 4
PoorBest 

Dipetik dari: http://myfizi.blogspot.com/2009/09/bolehkah-wanita-haidh-membaca-al-quran.html

Fatwa Asy-Syeikh Khalid Bin `AbduLlah Al-Muslih:

Soalan:

1. Fadhilatu sy-Syeikh, As-salamu`alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh, adakah boleh bagi seorang perempuan untuk membaca Al-Qur’an atau dia menyentuh Al-Qur’an ketika kitaran bulanan (dalam keadaan haidh), terutama pada bulan Ramadhan, untuk mengkhatamkannya.

2. Fadhilatu sy-Syeikh, As-salamu`alaikum warahmatuLlahi wabarakatuh, saya ingin bertanya tentang hukum pembacaan Al-Qur’an ketika Ramadhan oleh orang yang haidh tanpa menyentuh Al-Qur’an, dan ini untuk khatamkan (Al-Qur’an) dalam Ramadhan. Dan saya bertanya tentang pembacaannya dalam waktu ini (ketika haidh) dengan cara komputer, iaitu CD yang mengandungi Al-Qur’an yang tertulis (dalamnya).

Jawapan:

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Wa`alaikumu s-salam warahmatuLlahi wabarakatuh, dan adapun kemudian:
Maka jawapan bagi soalan anda kami katakan:

Telah berselisih ahli `ilmu rahimahumuLLah dalam masalah pembacaan Al-Qur’an oleh orang yang haidh kepada TIGA PENDAPAT secara keseluruhan:

Pendapat pertama: boleh membaca Al-Qur’an bagi orang yang haidh dan orang yang nifas dengan tidak menyentuh Al-Qur’an, dan ini mazhab Al-Imam Malik, dan ia riwayat dari Abi Hunaifah dan Ahmad, dan dengannya berkata Al-Bukhari dan Daud dan Ibn Hazm.

Pendapat kedua: boleh bagi orang yang haidh dan orang yang nifas membaca sesuatu dari Al-Qur’an sama ada satu ayat atau dua ayat, dan dikatakan: tidak dilarang daripada apa yang kurang daripada satu ayat.

Pendapat ketiga: diharamkan ke atas orang yang haidh dan orang yang nifas membaca sesuatu dari Al-Qur’an, dan ini pendapat jumhur `ulama’ dari (mazhab) Hanafiyyah dan Syafi`iyyah dan Hanabilah dan selain daripada mereka, dan telah berkata At-Tirmizi tentangnya: “Dan ini pendapat majoriti ahli `ilmu dari kalangan para sahabat Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam dan tabi`in dan daripada yang selepas daripada mereka”.

Dan sesungguhnya telah ditunjukkan akan dalil tentang pecahan semua ini.
Dan yang telah nyata kepada aku pendapat yang membolehkan orang yang haidh dan orang yang nifas membaca Al-Qur’an itu adalah pendapat yang lebih dekat dengan kebenaran, jika sesungguhnya orang yang haidh dilarang daripada membaca pastilah Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam menerangkan tentang itu dengan terang dan jelas disampaikannya darinya petunjuk yang pasti sepertimana dalam kes larangan orang yang haidh dari (menunaikan) solat dan puasa, dan tidak terhad urusan tersebut di atas hadis yang disepakati imam-imam di atas pendha`ifannya, dan ia apa yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi (131) dan selainnya dari Ibn `Umar radhiyaLlahu`anhuma secara marfu`, dia berkata: “Janganlah orang yang haidh dan janganlah orang yang junub membaca sesuatupun dari Al-Qur’an”. Maka sesungguhnya telah berkata tentangnya Al-Imam Ahmad ketika anaknya bertanya kepadanya sepertimana dinuqilkan oleh Al-`Uqailiy dalam Kitab Adh-Dhu`afa’ (halaman 90): “Batil (hadis tersebut), Isma`il bin `Iyash memunkirinya”. Dan yang demikian telah berkata Abu Hatim dalam apa dinuqilkannya darinya oleh anaknya dalam Al-`Ilal (49/1).

Dan sesungguhnya telah berkatalah tentangnya Syaikhu l-Islam Ibn Taimiyyah di dalam Al-Fatawa (469/21): “Dan ini adalah hadis dha`if yang disepakati (akan kedha`ifannya) oleh `ulama’ bidang hadis”. Dan dia (Ibn Taimiyyah) juga berkata tentangnya di dalam Al-Fatawa (191/26): “Dan (hadis) ini tiada asal dari Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam, dan tidak dikhabarkannya dari Ibn `Umar dan tidak dari Nafi` dan tidak dari Musa bin `Uqbah (mahupun) para sahabat mereka yang terkenal dalam nuqilan sunan dari mereka. Dan sesungguhnya para wanita mengalami haidh ketika zaman RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam, maka jikalau membaca (Al-Qur’an) diharamkan ke atas mereka sepertimana solat maka sudah pastilah ini diterangkan akannya oleh Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam kepada ummatnya dan para ibu mukminin (isteri Nabi) akan mempelajarinya, dan sudah pasti itu adalah daripada apa yang dinaqalkannya kepada manusia, selagi mana tidak dinaqalkan satupun daripada Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam tentang larangan tersebut maka tidak boleh untuk menjadikannya (membaca Al-Qur’an ketika haidh) sebagai haram, telah diketahui sesungguhnya tidak dilarang akan hal itu, dan apabila tidak dilarang tentang hal itu sedangkan ramai orang yang haidh pada zamannya maka telah diketahui bahawa ia tidaklah diharamkan”. Dan sesungguhnya Syaikhu l-Islam telah mengunggulkan dalil mereka yang berkata tentang keharusan (membaca Al-Qur’an ketika haidh) selepas dia menyebutkan tentang kedha`ifan hadis itu, maka dia berkata di dalam Majmu` Al-Fatawa (460/21): “Dan telah maklum bahawa para wanita mengalami haidh ketika zaman RasuluLlah SallaLlahu `alaihi wasallam dan tidak berlaku tegahan terhadap mereka daripada membaca Al-Qur’an, sepertimana tidak berlaku tegahan kepada mereka daripada berzikir dan berdoa, malah diperintahkan orang yang haidh supaya keluar pada hari raya lalu mereka bertakbir bersama-sama takbir muslimin, dan diperintahkan orang yang haidh untuk menunaikan manasik (tatacara `ibadah) seluruhnya kecuali tawaf Ka`bah: dia bertalbiyah dalam keadaan dia haidh, dan demikian di Muzdalifah dan Mina dan selain daripada itu daripada syi`ar-syi`ar”, dan Allah Yang Lebih Mengetahui.

Sumber: http://www.almosleh.com/almosleh/article_453.shtml


KESIMPULAN:


1. Terdapat 3 pendapat dalam masalah ini:

* Boleh membaca tanpa menyentuh Al-Qur'an.
* Boleh membaca satu atau dua ayat Al-Qur'an.
* Tidak boleh membaca Al-Qur'an.


2. Jumhur `ulama' berpegang kepada pendapat ke-3 (tidak boleh membaca Al-Qur'an).


3. Namun pendapat yang lebih rajih ialah boleh membaca Al-Qur'an baik bagi wanita yang haidh mahupun wanita yang nifas kerana:

* Hadis yang digunakan untuk melarang membaca Al-Qur'an adalah dha`if di sisi ramai `ulama' hadis.
* Tiada larangan membaca Al-Qur'an yang sahih daripada Nabi padahal pada zaman Nabi terdapat ramai wanita yang haidh termasuklah isteri baginda sendiri.

PERBINCANGAN TARIKH NUZUL AL-QUR’AN

User Rating: / 5
PoorBest 

Oleh: Dr. Ahmad Najib Abdullah – Pensyarah UM, Nilam Puri.
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Ulama’ berselisih pendapat berhubung bilakah al-Qur’an diturunkan. Pendapat yang agak masyhur mengemukakan 17 Ramadhan sebagai tarikh nuzul
Al-Qur’an. Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama’ sirah.

Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah.[1]
Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada
Rasulullah s.a.w bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan dan dikatakan pada 24 Ramadhan. Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam
al-Bidayah wa al-Nihayah:

روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه.[2]

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal nuzul Al-Qur’an. Setelah saya
meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” ( Bermulanya nuzul Al-Qur’an ), terdapat semacam satu kekeliruan apabila
Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:

قال ابن إسحاق: فابتدئ رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ] شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان
[ وقال الله تعالى: ] إنا أنزلنه في ليلة القدر … [ ...وقال تعالى: ] إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان [. وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه وسلم والمشركون ببدر.
قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.
قال ابن إسحاق: ثم تتام الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو مؤمن بالله مصدق بما جاءه منه ...إلخ[3]


Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an dengan ‘hari al-Furqan’yang
membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di
bawah tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat-pendapat lain tentang nuzul Al-Qur’an sebagaimana diutarakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri, ianya berlaku pada 7 Ramadhan,
ada yang mengatakan 18 Ramadhan. Beliau sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’ lain. Menurut beliau, nuzul Al-Qur’an jatuh
pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:

1- Semua ulama’ sirah atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi s.a.w dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith
Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim dan lain-lain.

2- Hari Isnin pada tahun Nabi s.a.w dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith
yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.

3- Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah: ( إنا أنزلنه في ليلة القدر ) dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi s.a.w
dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi s.a.w,
jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[4]

Pendapat seterusnya, nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut:

قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام عن قتادة عن أبي المليح عن واثلة ابن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:
أنزلت صحف إبراهيم عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من رمضان، والإنجيل لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت من رمضان.[5]


Hadith di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di atas bertepatan dengan firman Allah SWT (Surah al-Baqarah: Ayat 185):

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان

Dan firmanNya ( Surah al-Qadr : Ayat 1 ) :

إنا أنزلنه في ليلة القدر

Kata beliau, berkemungkinan lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi s.a.w pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an
diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama ( 24 Ramadhan ) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT :

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [6]

Imam al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan
sekali gus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[7]

Imam al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith tersebut merupakan dalil atau hujah yang
terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[8]

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan
bahawa Ibn Mardawaih juga ada meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada
matan hadith berkenaan.[9] Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith
Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[10]

Turut menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul Al-Qur’an b
erlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[11]

Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung hari nuzul Al-Qur’an seperti berikut :

1- Pendapat yang menyebut nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil,
al-Waqidi ( m. 207 H ), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami seorang perawi yang lemah ( matruk ) dan tidak diterima
riwayatnya[12]. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zurqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.[13]

2- Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan nuzul Al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan
ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau. Malam al-Qadr
boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.

3- Pendapat yang menyebut bahawa nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat dan rajih. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:

I- Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua
permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam
menentukan bilakah berlakunya nuzul Al-Qur’an.

II- Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.

III- Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan
tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

________________________________________________________________________________________________________________________________________

[1] Lihat: al-Mubarakfuri, Syaikh Safiyy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum, Beirut : al-Maktabah al-Thaqafiyyah, h77.
[2] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Beirut : Dar al-Fikr, 3/6.
[3] Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah,1/239-240.
[4] Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, h.77
[5] Imam Ahmad,al-Musnad , Beirut : al-Maktab al-Islami 4/107, al-Baihaqi , al-Sunan al-Kubra 9/188, al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, No 185. Al-Tabari, Ibn Jarir,
Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, ( Tahqiq: Ahmad Shakir ),al-Qahirah: Dar al-Ma’arif, 3/446, Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No 1575. Lihat : Yasin,
Dr. Hikmat Bashir,( 1994 ), Marwiyyat al-Imam Ahmad Bin Hanbal Fi al-Tafsir, Riyadh: Maktabah al-Muayyad, 1/128.
[6] Al-‘Asqalani, Ibn Hajar,( 1988 ), Fath al-Bari, al-Qahirah: Dar al-Rayyan li al-Turath 8/621.
[7] Al-Tabari, Jami’ al-Bayan 3/445.
[8] Al-Qurtubi, Muhammad Bin Ahmad al-Ansari, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Beirut: Muassasah Manahil al-‘Irfan 2/198
[9] Al-Dimisyqi, Ibn Kathir, ( 2004 ),Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, 2/180, lihat juga: 14/411
[10] Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/6
[11] Al-Albani, Muhammad Nasiruddin,( 1421 H ), Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, Amman : al-Maktabah al-Islamiyyah, h.90
[12] Al-Baghdadi, al-Khatib, Tarikh Baghdad, 3/31, al-Zahabi, Muhammad Bin Ahmad Bin Uthman, ( 1992 ), Siyar A’lam al-Nubala’,Beirut : Muassasah al-Risalah,
9/454, 469, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta’dil, 8/20
[13] Lihat: Manahil al-‘Irfan, 1/52

sumber : http://www.abuanasmadani.com/?p=420

Pernikahan: Ikatan Positif Yang Diberi Alasan Negatif

User Rating: / 3
PoorBest 

Oleh: Nawawi
Sumber: http://an-nawawi.blogspot.com

Pernikahan: Ikatan Positif Yang Diberi Alasan Negatif

Dunia kampus memang tidak pernah kering dengan suasana riuh rendahnya para pelajar. Ia adalah alam dunia remaja yang begitu mengasyikkan dalam melayari sebuah perjalanan menuju kedewasaan. Rata-ratanya meredah sebuah perjalanan menuju martabat dan makam kematangan. Kematangan dalam fizikal, berfikir, membuat keputusan dan membina sebuah jati diri seorang insan.

Dalam kehangatan keriuhan suasana tersebut, isu yang paling mendapat perhatian saban waktu adalah isu berpacaran atau berpasang-pasang-nya remaja lelaki dengan perempuan. Masing-masing sudah mula mengerti alam hati dan jiwa. Menerobos alam percintaan dan suka kepada jantina berbeza. Mula berimaginasi melayari naluri sayang di antara satu sama lain di antara insan dua jantina berbeza. Memiliki keinginan untuk bermanja, dimanja, dan memanjakan seseorang pasangan pilihan. Ingin bersama saban waktu dan ketika di setiap tempat. Mahu sentiasa makan bersama, belajar bersama, berjalan bersama, sehingga membuahkan perasaan tidur juga mahu bersama.

Itulah hakikatnya yang rata-ratanya dialami oleh warga remaja dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar kampus di usia remaja. Di saat jutaan sel dan hormon dewasa di dalam badan mula aktif. Perasaan ingin berpasangan yang semakin membuak-buak. Kehangatan perasaan jiwa yang bukan semakin suam, tetapi terus membara dan membakar hati.

Ya... perasaan tersebut memang sukar untuk surut dan reda. Hati-hati mereka akan terus dibanjiri dengan seribu kekacaaun dan gelojak jiwa ingin bercinta, menyintai dan dicintai. Kehangatan suasana pergaulan masa kini memang suatu faktor yang menjadikan semua itu sukar untuk dikawal. Menjadikan mereka mudah terperangkap dan hanyut.

Betapa dunia kita terdedah dengan pelbagai jenis media massa, media cetak, mahu pun dunia global yang hanya dengan pergerakan jari mampu meneroka seluruh pergolakan dunia. Saban hari pelbagai isu disebarkan yang benar-benar mengganggu ruang hati yang mengajak kepada perasaan yang pelbagai, termasuklah membangkitkan perasaan cinta dan ingin berpasangan. Ditambah lagi dengan realitinya dunia yang sememangnya begitu. Menjadikan hati-hati naluri manusia bergelar remaja begitu mudah dirangsang.

Maka, ianya suatu yang bukan lagi menghairankan manusia biasa seperti kita. Di mana setiap kita dianugerahi dengan sifat kasih sayang dan perasaan cinta. Perasaan ingin memiliki dan dimiliki. Terlalu banyak rangsangan dan faktor yang mengarahkan (meng-aktifkan) apa yang terpendam tersebut bertindak lebih awal. Seluruh pancaindera berfungsi sepenuhnya dengan menyerap kepelbagaian input tersebut. Maka, lubuk naluri dalaman kita dirangsang sama ada dengan dipaksa berfungsi awal atau pun terlaksana sendiri tanpa kawalan yang mengakibatkan jiwa-jiwa dalaman kita meletup-letup dan membuak-buak.

Asal mula memasang niat untuk membina keluarga. Ingin bersama di masa hadapan dalam sebuah perkahwinan yang indah. Namun, lantaran mahu mengenali hati budi terlebih dahulu, akhirnya jatuh ke lubuk maksiat tanpa disedari. Niat menyelami hati budi, akhirnya terlajak sehingga mengenali hati “body” masing-masing. Habis tubuh dari hujung kaki dan rambut diredah serta dirasa.

Begitulah betapa syaitan menipu manusia dengan senjata perasaan dan naluri cinta yang terkandung di dalam diri-diri manusia itu sendiri. Begitu ramainya remaja kampus kita yang hancur “body”-nya lantaran sebuah cinta. Hancur hatinya akibat mengikuti rasa. Masa hadapannya menjadi samar dan gelita. Perasaan menjadi hambar dan luluh akibat dari sebuah hubungan cinta nafsu semata.

Di dalam menghadapi sebuah suasana ini, penyelesaiannya tidak lain. Iaitu adalah dengan Islam itu sendiri. Dengan sebuah agama yang cukup-cukup sempurna dan tidak terkalahkan. Sebuah solusi yang begitu agung dan mulia. Sebuah agama yang agung, sudah pasti memiliki sebuah pilihan jalan yang cukup-cukup agung dan ulung.

Islam memberi pilihan dengan sebuah ikatan bernama “Pernikahan”.

Namun sayangnya... betapa ramainya para remaja masa kini yang memandang kalimah pernikahan sebagai sebuah perkara yang negatif. Pelbagai alasan yang diberi. Di antaranya:

1 – Belum sampai masanya. Kerana masih terlalu muda.

2 – Belum sampai waktunya, kerana masih di alam pengajian dan mahu menamatkan pelajaran sehingga meraih segulung ijazah terlebih dahulu.

3 – Belum ada duit untuk membina sebuah rumahtangga.

4 – Keluarga masing-masing tidak memberi laluan.

Inilah bentuk-bentuk alasan yang cukup sering kita perolehi dari mulut-mulut mereka. Betapa negatifnya mereka terhadap sebuah alternatif yang cukup-cukup baik lagi sempurna yang telah disediakan oleh agama Islam.

Lalu, mereka memandang positif pula begitu banyak perlakuan maksiat lainnya. Mereka memandang positif sebuah kebersamaan terhadap pasangan masing-masing di segenap waktu dan tempat tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf.

Di dalam alasan “belum sampai masanya” tersebut jugalah mereka mengambil masa yang ada bagi melayari sebuah ikatan terlarang. Menghalalkan berpegangan tangan, menghalalkan bersenda-gurau, menghalalkan bermanja suara, menghalalkan duduk berduaan bertentangan mata. Fatwa mana yang mereka gunakan? Yang pasti bukan fatwa agama, melainkan fatwa jiwa yang dirujuk dari orang ketiga bernama Syaitan.

Begitulah remaja-remaja kita hanyut dengan fatwa jiwa masing-masing. Meninggalkan yang halal dengan mengambil yang haram. Memandang yang positif sebagai negatif dan memandang yang negatif menjadi positif.

Akibat sebuah alasan “belum sampai waktunya” itu jugalah, kebanyakan remaja-remaja kita terobek kesuciannya sebelum sampai waktunya. Melahirkan anak sebelum waktunya. Menamatkan pengajian dari kampus sebelum waktunya. Menamatkan zaman daranya sebelum waktunya. Menikmati tubuh jantina berbeza sebelum waktunya. Menikmati naluri seks juga sebelum waktunya. Akibatnya? Anda sendiri jawab...

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyediakan jalan yang begitu suci dan murni buat orang-orang yang beriman supaya mereka aman di dalam perjalanan kehidupan mereka. Tenang bersama sebuah kehalalan. Memberi jaminan kepada mereka yang menghargai sebuah pemberian. Pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Iaitu sebuah syari’at yang bernama pernikahan.

Setiap insan yang matang sudah pasti mampu melakukannya. Janganlah beralasan dengan alasan bodoh lagi. Mahu mengumpul wang untuk tujuan karut marut sebuah hantaran perkahwinan. Mahu mengumpulkan perbelanjaan bagi tujuan bertukar (berbalas) dulang yang khurafat. Mahu meraih pekerjaan terlebih dahulu bagi membolehkan menyediakan cincin pertuangan dan pernikahan ribuan ringgit yang sebenarnya bertasyabbuh (menyerupai) dengan kaum kristian. Tidak lain, semua itu adalah karut-marut dalam sebuah pernikahan yang telah sedia suci. Selamilah perkahwinan yang dianjurkan oleh agama. Bagaimana Nabi kita memberi petunjuk. Lihatlah bagaimana para Sabahat-sahabat nabi melayari pernikahan mereka dengan cahaya agama. Sesungguhnya Islam sentiasa menyediakan ruang yang cukup-cukup mudah lagi positif.

Hanya mereka yang befikiran negatif, maka akhirnya kehidupan mereka turut menjadi negatif.

Maka, halalkanlah perhubungan anda bersama gadis mahu pun jejaka pilihan anda dengan ikatan yang halal. Jika takut mengatur rumahtangga di masa awal. Jalanilah dunia remaja anda dengan sentiasa bersama, berpasangan, belajar bersama, makan bersama, saling bertukar pandangan bersama, manja bersama di bawah ikatan pernikahan yang sah. Iaitu dengan tidak terburu-buru untuk menikmati seks di peringkat awal. Kawal perhubungan di dalam pernikahan anda dengn bijaksana. Percayalah bahawa ikatan pernikahan adalah jalan yang terbaik bagi mengelakkan perkara-perkara yang negatif. Ia adalah sebuah alternatif yang sangat positif anugerah dari Tuhan yang maha Mencipta dan maha Mengatur.

Jika anda telah memiliki minda yang positif, maka insyaAllah... anda layak menikmati hubungan di antara dua jantina dengan hasil yang juga cukup-cukup positif. Percayalah bahawa nikmat dan rezeki Allah sangat-sangat mencukupi untuk para hamba-hamba-Nya yang benar-benar beriman. Janganlah bersangka dengan sangkaan yang negatif kepada Allah dengan bertujuan mengambil yang haram dan meninggalkan yang halal.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nuur, 24: 32)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah memetik perkataan Ali bin Abi Tholib radhiyallahu ‘anhu ke dalam tafsirnya terhadap ayat ini bahawa:

“Allah memberi galakkan kepada manusia untuk bernikah. Allah memerintahkan nikah kepada orang-orang yang berstatus merdeka mahu pun hamba sahaya. Allah berjanji kepada mereka akan memberikan kecukupan atau kemampuan untuk menikah.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Wahai pemuda, sesiapa di antara kamu yang telah mampu mmengeluarkan belanja pernikahan, maka hendaklah dia menikah, kerana menikah itu akan menjaga pandangan dan memelihara kemaluan...” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Percayalah bahawa rata-rata remaja zaman ini secara umumnya mereka semua mampu mengeluarkan perbelanjaan tersebut jika ia dilaksnakan menurut cara yang syar’i dengan meninggalkan pelbagai karut-marut pernikahan yang diwarisi dari adat jahiliyyah. Masakan tidak mampu jika rata-rata mereka sudah mampu mengeluarkan belanja telefon bimbit ratusan ringgit setiap bulan bagi berhubungan dengan pasangan masing-masing. Mengeluarkan ratusan ringgit untuk sebuah perjalanan makan angin bersama. Mengeluarkan perbelanjaan setiap hari untuk makan bersama dan sebagainya. Fikir-fikirkanlah... Bahawa perbelanjaan pernikahan adalah lebih rendah dari semua itu. Malahan, mereka turut dibiayai pelbagai wang biasasiswa dan seumpamanya. Malah, tidak kurang ramai di antara mereka yang telah memiliki perniagaan sendiri. Salurkanlah duit ke jalan yang betul dan bukan dibelanjakan untuk tujuan yang haram. Hiduplah dengan jalan yang diberkati dan penuh pahala saban waktu.

Daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Carilah kecukupan rezeki dengan bernikah, kerana Allah berfirman, “Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir dan ath-Thabari)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):

“Ada tiga golongan yang Allah berjanji akan menolong mereka,

1 – Orang yang bernikah dengan tujuan menjaga kesucian dirinya,

2 - Hamba sahaya yang ingin memerdekakan dirinya,

3 – Orang yang berperang di jalan Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Lihat Shahihul Jami’, no. 3050)

Malahan, Imam Ibnu Katsir juga turut menjelaskan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menikahkan seorang lelaki yang tidak memiliki apa-apa melainkan kain yang dipakainya. Sehinggakan dia tidak mampu walaupun membeli cincin dari besi. Walau pun demikian, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahkannya dengan seorang wanita dan menjadikan mas kahwinnya berupa al-Qur’an kepada isterinya, kerana hanya itu yang dia miliki. Kita semua sedia maklum bahawa kasih sayang Allah dan kebaikan-Nya adalah memberi mereka berdua kurniaan rezeki yang dapat mencukupkan hidup mereka. (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir)

Sebagai menutup tulisan ini, pastikanlah pasangan anda adalah seorang individu yang bertanggungjawab dan bersedia meraih kematangan dengan cara yang diiktiraf. Iaitu bertanggungjawab terhadap diri anda dan agama dengan mengambil setiap jalan penyelesaian dengan agama. Yang lebih penting, sentiasa berusaha dan bersedia memperbaiki diri dan kelemahan masing-masing.

Jauhuilah individu yang membelakangkan agama untuk menjadi pasangan anda. Fahamilah bahawa pasangan yang mangajak untuk bersama-sama dalam pelbagai perkara tanpa mendahulukan ikatan pernikahan, bahawa dia sebenarnya adalah individu yang tidak bertangunggjawab. Yang mungkin hanya akan merosakkan anda di masa hadapan.

Wallahu a’lam...

You are here: Artikel View